KUALA LUMPUR – “Sesiapa juga yang sebelah sini atau sini (Ahli Parlimen pembangkang atau kerajaan) yang hina penjawat awam, saya akan ambil tindakan.”
Demikian amaran Yang di-Pertua Dewan Rakyat apabila beberapa Ahli Parlimen pembangkang membuat kecoh ketika Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berucap pada Sesi Kenyataan Menteri mengenai Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) Malaysia-Amerika Syarikat (AS) di Dewan Rakyat, hari ini
Tan Sri Johari Abdul menegaskan akan mengambil tindakan sekiranya terdapat mana-mana Ahli Parlimen berbuat demikian ketika persidangan berlangsung.
“Anda boleh komen tentang ahli politik. Jangan sebut, jangan kutuk, kamu nak tanya menteri, tidak puas hati itu lain..Jangan hina penjawat awam. Anda mahu saya tunjuk apa dihantar kepada saya, jangan cabar saya.
“Ada orang kutuk KSN (Ketua Setiausaha Negara) dan macam-macam lagi, saya nak ingatkan,” katanya yang mengingatkan Ahli Parlimen boleh mengemukakan soalan ketika Tengku Zafrul membuat penggulungan di peringkat dasar bagi Rang Undang-Undang Perbekalan 2026 pada keesokan harinya.
“Saya dah kata tak ada celahan, mungkin Machang (Wan Ahmad Fayshal) datang lewat, datang awal lain kali. Saya kata esok (boleh kemuka soalan), esok nak cakap, cakaplah,” kata beliau.
Terdahulu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) membangkitkan peraturan Dewan dengan mendakwa Tengku Zafrul memfitnah apabila menyebut kecewa kerana ada Ahli Parlimen yang memperlekehkan usaha dan pengorbanan penjawat awam yang bertungkus-lumus berunding bagi merealisasikan perjanjian dengan AS.
Situasi bertambah kecoh apabila beberapa pembangkang antaranya Datuk Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu), Datuk Wan Saiful Wan Jan (PN-Tasek Gelugor) dan Datuk Awang Hashim (PN-Pendang) mempersoalkan arahan Johari yang meminta Wan Ahmad Fayshal duduk dan tidak membangkitkan isu tersebut. – KOSMO! ONLINE

7 hours ago
3









![[KEMASKINI] ‘Saya hubungi bapa mentua 30 kali tidak berjawab’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/10/WhatsApp-Image-2025-10-29-at-3.35.57-PM-e1761726179178.jpeg)







































