Jangan cabar dan pandang rendah sistem pendidikan tinggi – Zambry

2 hours ago 2

PETALING JAYA – Jangan ada pihak cuba mencabar dan memandang rendah kepada sistem pendidikan tinggi negara yang telah lama berfungsi dengan baik di Malaysia.

Semua pihak juga diingatkan tidak keterlaluan mengambil kesempatan daripada isu yang timbul untuk memenuhi matlamat kumpulan atau kepentingan politik tertentu.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, sistem sedia ada termasuk matrikulasi, asasi dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) telah terbukti berjaya melahirkan pelajar-pelajar cemerlang.

“Saya menyeru semua pihak menghentikan desakan melampau yang hanya akan mengeruhkan keadaan, sebaliknya mari kita sama-sama memperkukuhkan keyakinan terhadap sistem pendidikan tinggi negara.

“KPT sentiasa terbuka kepada perbincangan dan cadangan yang baik, tetapi elakkan sebarang manipulasi atau kepentingan pihak tertentu yang cuba mengeruhkan lagi keadaan,” katanya dalam satu rakaman video hari ini.

Persatuan Belia Baharu Universiti Malaya (UMANY) baru-baru ini menuntut program matrikulasi dimansuhkan dan menjadikan silibus STPM sebagai satu-satunya piawaian kemasukan ke universiti awam (UA)

UMANY mendakwa menerima banyak aduan pelajar cemerlang STPM dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.75 hingga 4.0 masih gagal mendapat tempat dalam kursus pilihan mereka.

Dakwa UMANY, keadaan tersebut mewujudkan ketidakadilan struktur dan satu bentuk peminggiran sistematik terhadap pelajar STPM.

Terdahulu, Zambry mengingatkan semua pihak agar lebih berhati-hati mengeluarkan kenyataan atau mendesak sesuatu perkara yang boleh mencetuskan kegelisahan.

Menurut beliau, perbuatan itu boleh menimbulkan suasana tidak tenteram dalam hal berkaitan akses kepada pendidikan tinggi negara sedangkan permasalahan yang timbul boleh diselesaikan melalui proses rayuan dan konsultasi.

“Ada yang mohon (UA) tak dapat, ada yang dapat tapi dia rasa kursus dia perlukan sedikit sebanyak ‘adjustment’, pertukaran, ini semua biasa yang telah dilakukan selama ini,” katanya.

Tegas beliau, KPT sentiasa berusaha memastikan peluang yang adil dapat diberikan kepada semua pelajar melalui sistem berasaskan prinsip meritokrasi, keputusan pelajar, agihan demografi dan pertimbangan sosioekonomi.

“KPT juga sentiasa memastikan sistem UPU Online berjalan dengan baik dan memastikan tidak ada perkara yang sering dituduh konon sistem rosak dan sebagainya,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |