PETALING JAYA – Orang ramai dinasihatkan berwaspada terhadap panggilan tidak dikenali yang mematikan talian secara tiba-tiba atau tidak mengeluarkan sebarang suara, kerana berpotensi digunakan bagi tujuan eksploitasi suara.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Rusdi Mohd. Isa berkata, hasil semakan Unit Risikan, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Bukit Aman setakat ini, mendapati tiada sebarang laporan polis diterima berkaitan perkara tersebut.
“Tiada lagi laporan daripada mangsa yang mendakwa menerima panggilan kosong, dirakam suaranya, dan suara itu digunakan melalui aplikasi kecerdasan buatan (AI) untuk menipu kenalan mereka,” katanya hari ini.
Rusid berkata, bagaimanapun, JSJK menasihatkan orang ramai supaya berwaspada terhadap perkara seumpamanya kerana ia berpotensi digunakan bagi tujuan eksploitasi suara.
“Orang ramai digalakkan untuk tidak menyebut maklumat peribadi ketika menerima panggilan mencurigakan serta membuat pengesahan dengan talian rasmi sekiranya menerima panggilan yang mendakwa melibatkan pihak berkuasa atau institusi kewangan.
“Sebarang panggilan atau mesej meragukan hendaklah segera dihentikan dan dilaporkan kepada polis.
Sebelum ini, Kosmo! melaporkan taktik penipuan dalam talian menggunakan kaedah panggilan senyap (silent call) untuk dirakam sebagai bahan penipuan.
Pegawai Penyiasat Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras, Inspektor Tai Yong Keong dilaporkan berkata, panggilan senyap bertujuan sebagai alat saringan mangsa oleh sindiket penipuan dalam talian.
“Sindiket penipuan dalam talian akan merakam suara dalam beberapa saat sekali gus menyumbang kepada jenayah komersial dan jenayah penipuan.
“Sindiket ini mampu mengubah suara dengan bantuan AI untuk menghubungi keluarga atau kenalan kita untuk penipuan,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

1 hour ago
1

















































