Jalan basah punca remaja maut, abang cedera dalam nahas di LDP

8 hours ago 6

SUBANG JAYA – Seorang remaja perempuan maut manakala abangnya cedera selepas kereta e-hailing yang mereka naiki terbabas sebelum melanggar penghadang besi di Kilometer 28.7 Lebuh Raya Damansara-Puchong (LDP) dari arah KLIA menuju ke Bandar Kinrara, semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10 malam itu, mangsa berusia 19 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala dan anggota badan.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, siasatan awal mendapati kereta jenis Perodua Bezza yang dipandu pemandu e-hailing itu hilang kawalan sebelum terbabas dan melanggar penghadang besi di bahu kiri jalan.

“Penumpang belakang sebelah kanan, seorang lelaki berusia 21 tahun yang juga abang kepada mangsa mengalami kecederaan dan kini dirawat di hospital.

“Pemandu e-hailing turut mengalami kecederaan ringan dan telah menerima rawatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kejadian dipercayai berpunca daripada keadaan jalan yang basah selepas hujan menyebabkan kenderaan hilang kawalan.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya, Inspektor Mohd. Faizul Ahmad Suhaimi di talian 019-4757385,” katanya.

Terdahulu, Kosmo! melaporkan seorang wanita maut manakala dua lelaki cedera ringan selepas kereta dinaiki mereka terbabas melanggar pembahagi jalan di Jalan Puchong Batu 14, berhampiran stesen minyak BHP Kampung Baru Puchong.

Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 10.15 malam. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |