PETALING JAYA – Malaysia bersiap sedia menjadi tumpuan dunia apabila buat julung kalinya menganjurkan Piala Dunia Boling Padang 2025 yang bakal menghimpunkan 12 kuasa besar sukan itu di Bukit Kiara dari 4 hingga 8 November ini.
Edisi sulung kejohanan berstatus platinum dalam kalendar Siri Boling Padang Dunia itu dijangka sengit dengan kehadiran pemain No. 1 dunia dari Scotland, Jason Banks serta juara Australia, Dawn Hayman selain penyertaan bintang England, Kanada dan New Zealand.
Malaysia pula mempertaruhkan barisan diketuai Izzat Shameer Dzulkeple, Muhammad Soufi Rusli, Emma Firyana Saroj dan Nurul Alyani Jamil yang bakal beraksi di gelanggang sendiri dengan kelebihan mengenali portable ring baharu di Pusat Boling Padang Nasional, Bukit Kiara.
Presiden Persekutuan Boling Padang Malaysia (PLBM), Datuk Awalan Abdul Aziz berkata, penganjuran itu bukan sekadar peluang membuktikan kemampuan sebagai hos bertaraf dunia, malah medan penting menguji kekuatan menjelang Sukan Komanwel Glasgow 2026.
“Kami tidak mahu memberi tekanan kepada mana-mana individu. Setiap pemain membawa tanggungjawab dalam acara masing-masing, sama ada individu, beregu atau berpasukan.
“Jika tekanan hanya ditanggung seorang atlet, ia boleh menjejaskan prestasi keseluruhan pasukan termasuk dua atau tiga acara lain sekali gus,” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar Piala Dunia Boling Padang 2025 di Bukit Jelutong semalam.
Menurutnya, fasiliti portable indoor ring baharu di Bukit Kiara memberi sedikit kelebihan kepada skuad negara kerana mereka sudah menyesuaikan diri lebih awal berbanding pasukan lawan.
“Ia antara kemudahan terbaik pernah kita miliki dan spesifikasi sama dengan gelanggang yang bakal digunakan di Sukan Komanwel tahun depan. Atlet luar juga dijangka datang awal untuk mencuba gelanggang ini,” jelasnya.
Awalan percaya, prestasi konsisten Izzat yang pernah bergelar pemain No. 1 dunia dan sering menghuni podium antarabangsa menjadi sandaran utama untuk menyaingi barisan elit dunia.
“Izzat konsisten hampir setiap kejohanan dunia. Kini bermain di laman sendiri, kami yakin dia dan rakan-rakan mampu berikan saingan terbaik,” ujarnya.
Kejohanan lima hari itu bakal menjadi penanda aras baharu buat boling padang Malaysia, bukan sahaja dari segi penganjuran, tetapi juga kesiapsiagaan atlet negara menentang kuasa besar dunia di gelanggang sendiri. KOSMO! ONLINE

4 hours ago
2

















![[VIDEO] Dipaksa makan daging babi, minum arak](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/10/IMG_0524.jpeg)































