KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan mencemar duli menyempurnakan Istiadat Pertukaran Panji-Panji Agong di Dataran Panglima Tentera Darat, Kem Perdana Sungai Besi, hari ini.
Ia merupakan istiadat julung kali sejak Seri Paduka Baginda menaiki takhta sebagai Pemerintah Ulung Negara.
Istiadat penuh adat ketenteraan itu dilaksanakan oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berikutan keperluan penggantian panji-panji baharu bagi menggantikan yang lama dan lusuh.
Sultan Ibrahim berangkat tiba kira-kira pukul 8.30 pagi diiringi Tunku Putera Johor, Tunku Abu Bakar dan Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar.
Ketibaan Seri Paduka Baginda disambut Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaffar serta Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Lokman Hakim Ali, Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan, Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Zulhelmy Ithnain dan Panglima Tentera Udara, Jeneral Datuk Seri Muhamad Norazlan Aris.
Sebanyak tiga panji Yang di-Pertuan Agong terlibat dalam istiadat pertukaran itu membabitkan tiga perkhidmatan ATM iaitu Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), Kor Armor Diraja (KAD) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Istiadat itu disempurnakan mengikut tatacara ketenteraan yang penuh istiadat, dimulai dengan Hormat Diraja, diikuti perarakan keluar Panji-Panji Yang di-Pertuan Agong lama, serta Pentauliahan dan Penganugerahan Panji-Panji baharu.
Ia melibatkan seramai 34 pegawai dan 430 anggota lain-lain pangkat terlibat yang diketuai Pegawai Memerintah Batalion Pertama, Rejimen Askar Melayu Diraja, Kolonel Mohd. Fuad Md Ghazali.
Laungan ‘Daulat Tuanku’ sebanyak tiga kali oleh anggota perbarisan bergema di Dataran Panglima Tentera Darat pada penghujung istiadat disusuli bacaan doa sebelum Seri Paduka Baginda berangkat meninggalkan istiadat pada pukul 9.30 pagi.
Panji-panji merupakan lambang kehormatan, semangat juang dan ketaatan yang tidak berbelah bahagi oleh ATM terhadap Raja dan Negara.
la menjadi identiti pasukan serta melambangkan tanggungjawab, legasi dan semangat setia yang diwarisi oleh setiap warganya.
Secara tradisinya, hanya pasukan yang mempunyai rekod perkhidmatan cemerlang akan dianugerahkan gelaran ‘Diraja’.
Sebagai penghormatan kepada sesebuah pasukan, nama-nama peperangan yang pernah disertai akan disulam pada panji-panji dikenali sebagai Penghormatan Tempur, yang terletak di kiri dan kanan Lambang Diraja. – KOSMO! ONLINE