Israel mahu lesenkan azan

2 hours ago 4

BAITULMAQDIS – Parti pimpinan seorang menteri Israel, Itamar Ben Gvir mahu membentangkan rang undang-undang (RUU) baharu bagi menyekat laungan azan di masjid, lapor portal berita Middle East Eye semalam.

Dalam satu kenyataan, parti Jewish Power berkata, pihaknya sedang mengusahakan RUU  yang akan melarang laungan azan kecuali jika dilesenkan oleh Rejim Zionis.

Kelulusan lesen itu bergantung kepada kriteria yang ditetapkan pihak berkuasa, termasuk tahap kelantangan, langkah pengurangan bunyi, lokasi masjid, jaraknya dengan kawasan perumahan dan kesan kepada penduduk sekitar.

Draf RUU tersebut dikemukakan Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Negara, Zvika Fogel dan bertujuan membendung apa dianggapnya sebagai bunyi bising tidak munasabah daripada bilal iaitu individu yang melaungkan azan.

Penduduk Palestin di Israel mengecam cadangan RUU itu.

Mereka menyifatkan cadangan itu sebagai satu lagi usaha Israel untuk menghapuskan identiti agama Islam dan budaya Palestin.

“Ini bukan soal bunyi. Azan bukan bunyi bising,” kata seorang peguam hak asasi manusia dan aktivis berpangkalan di Lod,  Khaled Zabarqa kepada laman berita Middle East Eye.

“Azan wujud selama ratusan tahun dan dilaungkan setiap hari sejak penubuhan Israel. Ia bukan masalah bunyi.

“Azan adalah simbol identiti agama dan kebangsaan rakyat Palestin di dalam Israel,” tambahnya.

Berdasarkan cadangan itu, pegawai polis boleh mengarahkan penutupan segera pembesar suara sekiranya syarat-syarat laungan azan dilanggar. 

Pelanggaran berterusan membolehkan pihak berkuasa merampas peralatan tersebut.

Hukuman yang digariskan dalam rang undang-undang itu adalah berat. 

Pemasangan atau pengendalian pembesar suara tanpa permit boleh dikenakan denda sebanyak 50,000 shekel (RM63,000). 

Pelanggaran syarat permit pula  boleh didenda 10,000 shekel (RM13,000). – AGENSI

Read Entire Article
Pertanian | | | |