TEHRAN – Rakyat Iran turun ke jalanan dalam gelombang protes baharu semalam bagi meneruskan gerakan terbesar menentang kenaikan kos sara hidup dalam tempoh lebih tiga tahun.
Perkembangan itu berlaku ketika pihak berkuasa mengekalkan sekatan internet sebagai sebahagian daripada tindakan keras yang sehingga kini mengorbankan puluhan nyawa.
Protes berlangsung di seluruh Iran selama 13 hari dalam gerakan yang kini berkembang dengan tuntutan supaya sistem pemerintahan ulama di negara tersebut sejak Revolusi Islam 1979 ditumbangkan.
Sebelum pemerintahan ulama, Ira diperintah oleh raja pro-Barat yang dikenali sebagai Shah Iran.
Menurut rakaman video yang disahkan oleh AFP, penduduk memukul periuk dan melaungkan slogan antikerajaan termasuk ‘Matilah Khamenei’, merujuk kepada pemimpin tertinggi Ayatollah Ali Khamenei, di daerah Sadatabad, Tehran manakala kenderaan-kenderaan membunyikan hon sebagai tanda sokongan.
Imej lain di media sosial menunjukkan protes serupa berlaku di kawasan lain di Tehran, manakala video yang disiarkan saluran televisyen berbahasa Parsi berpangkalan di luar Iran menunjukkan penyertaan besar-besaran dalam protes baharu di bandar Mashhad, Tabriz dan Qom.
Ia menyusuli demonstrasi besar-besaran kelmarin dan terbesar di Iran sejak gerakan protes 2022–2023 yang tercetus susulan kematian Mahsa Amini ketika dalam tahanan selepas ditahan kerana didakwa melanggar peraturan pemakaian hijab.
Perhimpunan tersebut berlangsung ketika sebuah organisasi pemantau internet, NetBlocks menyatakan, pihak berkuasa menutup perkhidmatan internet di seluruh Iran sepanjang 24 jam lalu dalam tindakan yang melanggar hak rakyat untuk menyembunyikan keganasan rejim.
Pertubuhan Amnesty International berkata, penutupan internet menyeluruh itu bertujuan untuk menyembunyikan tahap sebenar pelanggaran hak asasi manusia yang serius dan jenayah di bawah undang-undang antarabangsa dan dilakukan untuk menghancurkan protes tersebut.
Menurut pertubuhan bukan kerajaan, Iran Human Rights yang berpangkalan di Norway, sekurang-kurangnya 51 penunjuk perasaan termasuk sembilan kanak-kanak dibunuh oleh pasukan keselamatan, manakala ratusan lagi cedera.
Ia turut mengemas kini angka kematian kepada 45 orang dalam protes di negara tersebut
Dalam kenyataan pertamanya mengenai protes yang semakin memuncak sejak 3 Januari lalu, Khamenei semalam menyifatkan penunjuk perasaan sebagai perosak dan melakukan sabotaj.
Khamenei dalam ucapan yang disiarkan di televisyen kerajaan berkata, tangan Presiden Donald Trump berlumuran darah lebih seribu rakyat Iran, merujuk kepada perang Israel pada Jun tahun lalu yang menentang Republik Islam dan turut disertai oleh Amerika Syarikat. – AFP

17 hours ago
6













![[VIDEO] Harimau masuk kampung waktu malam](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/01/WhatsApp-Image-2026-01-10-at-15.19.56.jpeg)



































