IMDB: Najib bersalah empat tuduhan guna kedudukan peroleh suapan RM2.3 bilion

3 hours ago 4

PUTRAJAYA – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak didapati bersalah terhadap empat pertuduhan menggunakan kedudukan bagi memperoleh suapan RM2.3 bilion dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Collin Lawrence Sequerah yang bertindak selaku Hakim Mahkamah Tinggi, memutuskan demikian selepas mendapati pihak pembelaan bekas Ahli Parlimen Pekan itu gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pembelaan.

Terdahulu ketika membacakan dapatan mahkamah, Hakim Collin berkata mahkamah berpuas hati bahawa empat pertuduhan (salah guna kedudukan) tidak kabur dan tidak bertindihan di antara satu sama lain.
“Mahkamah menolak hujahan pembelaan bahawa pertuduhan adalah tidak jelas dan saling bertindih menyebabkan kesukaran kepada Najib untuk memahaminya dan menyediakan pembelaan,” kata Hakim Collin.

Sementara itu, dalam isu lain berkaitan pertuduhan itu, Hakim Collin mengatakan tiada pengesahan empat surat yang dikemukakan Najib berhubung bukti derma daripada pemerintah Arab Saudi selain tiada salinan asal surat berkaitan derma tersebut.

“Pihak pembelaan tidak pernah mengemukakan kepada mahkamah bagi memastikan dana itu dibuat pemerintah Arab Saudi, Almarhum Raja Abdullah.

“Surat itu dipalsukan kerana ada keterangan menunjukkan wang tersebut sebenarnya berpunca daripada dana 1MDB. Ada jejak kewangan pengesanan dana itu yang menunjukkan ia disalurkan melalui pihak ketiga iaitu Vista Equity, Blackstone dan Tanore iaitu entiti yang dimiliki oleh ahli kewangan buruan Eric Tan,” katanya.

Tambah Hakim Collin, menjadi suatu yang luar biasa apabila tiada surat balasan dihantar kepada keluarga diraja itu, sebagai salah satu tanda berterima kasih di atas sumbangan yang diperoleh.

Mengikut empat pertuduhan Najib sebagai Perdana Menteri, Menteri Kewangan dan Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB didakwa menggunakan kedudukannya ketika itu bagi memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB.

Kesalahan itu dilakukan di Cawangan AmIslamic Bank Berhad, Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon di sini, antara 24 Februari 2011 hingga 19 Disember 2014.

Justeru beliau didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 20 tahun dan denda hingga lima kali jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |