PETALING JAYA – Seorang ibu meluahkan rasa bersalah selepas membaca berita tular mengenai kes penderaan bayi di sebuah pusat asuhan kanak-kanak (taska) yang didakwa taska sama dia menghantar anaknya sebelum ini.
Menerusi perkongsian di platform Threads, Amalina mendakwa, hatinya seolah-olah ‘disagat’ apabila mengenangkan kemungkinan bayinya turut pernah dilayan secara kasar ketika berada di taska tersebut di Desa Petaling, Kuala Lumpur.
Menurutnya, dia menghantar bayinya yang baru berusia tiga bulan ke taska berkenaan pada Februari lalu selepas tamat cuti bersalin, walaupun nalurinya ketika sesi lawatan awal memberi petanda kurang menyenangkan.
“Waktu ‘viewing’, hati saya dah berat sebenarnya, tapi taska itu paling murah dan paling dekat dengan rumah. Jadi saya hantar juga,” dakwanya.
Bagaimanapun, selepas menghantar anaknya, dia mula menyedari beberapa perkara mencurigakan termasuk rungutan berterusan daripada pihak taska bahawa bayinya sering menangis.
“Memanglah bayi nangis, mak dia tak ada, baru tiga bulan pula. Tapi lepas dua bulan, saya nampak banyak tanda-tanda yang buat saya tak sedap hati,” ujarnya.
Wanita itu mendakwa, maklumat mengenai bayinya sukar diperoleh kerana taska tersebut hanya menggunakan satu kumpulan WhatsApp melibatkan semua ibu bapa, menyebabkan dia berasa janggal untuk kerap bertanya mengenai keadaan anaknya.
Selain itu, dia turut mendakwa bayinya kerap diambil lewat daripada jadual penukaran lampin, dengan najis sudah kering serta mata bayi sering kelihatan bengkak akibat terlalu lama menangis.
“Hari ini saya sangat sedih sebab mungkin bayi saya antara yang pernah dilayan kasar. Tapi saya bersyukur sebab ikut naluri seorang ibu dan keluarkan dia dari taska itu,” katanya.
Wanita itu turut mendedahkan yuran taska tersebut hanya RM500 sebulan bagi bayi berusia tiga bulan dengan yuran tahunan RM100, jauh lebih murah berbanding taska lain di kawasan sama yang mengenakan caj RM800 ke atas serta yuran tahunan mencecah RM2,000.
Bagaimanapun, wanita itu menegaskan perkongsiannya bukan bertujuan menjatuhkan semangat para ibu yang bekerja, sebaliknya sebagai peringatan agar sentiasa peka terhadap keselamatan anak-anak.
“Saya pun sekarang dah kerja balik dan alhamdulillah bayi saya dijga lebih baik. Tolong percaya naluri sendiri. Kalau tak sedap hati, jangan teruskan,” katanya.
Terdahulu, seorang pengguna Threads menggunakan akaun @Liyanazulkifli memuat naik rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) yang memaparkan tindakan kasar seorang pengasuh terhadap beberapa bayi.
Wanita itu turut mendakwa, anaknya berusia enam bulan merupakan salah seorang bayi yang dikasari sehingg terdapat kesan lebam pada tubuh.
“Anak saya diperlakukan seperti anak patung. Ketika dibedung, dia dicampak, digolekkan dan dipijak. Anak saya baru enam bulan dan tidak tahu apa-apa,” katanya.
Susulan itu, Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Aidil Bolhassan memaklumkan, bertidak ke atas video tular itu, seorang pengasuh ditahan polis bagi membantu siasatan kes penderaan melibatkan beberapa bayi di sebuah pusat asuhan kanak-kanak di Desa Petaling, Kuala Lumpur.
Beliau berkata, pihaknya menerima tiga laporan polis berkaitan kejadian tersebut yang membabitkan bayi berusia enam serta sembilan bulan dan kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
Jelasnya, suspek seorang wanita berusia 26 tahun telah ditahan pada 16 Disember lalu bagi siasatan lanjut oleh Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur. – KOSMO! ONLINE

3 hours ago
4

![[VIDEO] ‘Jalan jem pun tak berhenti kelip’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/12/KAMERA-AWAS.jpeg)







![[VIDEO] 2 beradik merusuh di Pasar Awam Melor disambung reman 3 hari](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/12/RUSUHAN-PASAR-AWAM-MELOR.jpeg)


![[VIDEO] Treler langgar tiga kereta halang laluan masuk R&R](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/12/treler-tular.jpeg)




































