Ibu kandung dijel tiga tahun, teman lelaki didakwa membunuh

2 months ago 33

AMPANG – Seorang ibu dipenjara tiga tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan mendedahkan anak kandung lelakinya berusia enam tahun kepada kecederaan fizikal sehingga kanak-kanak itu meninggal dunia.

Hakim Norshila Kamarudin menjatuhkan hukuman penjara itu terhadap tertuduh yang berusia 25 tahun selepas wanita itu mengaku bersalah atas pertuduhan yang disabitkan ke atasnya.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh diikat jamin bon berkelakuan baik selama dua tahun serta dilarang menjalankan pemeliharaan dan penjagaan kanak-kanak selama lima tahun selepas selesai menjalani hukuman penjara.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun dua bulan telah mendedahkan kanak-kanak itu dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal dengan cara memukul, mencubit dan menampar sehingga mangsa meninggal dunia.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di Jalan Zamrud, Taman Bukit Ampang di sini antara pukul 2 petang, 8 Januari hingga pukul 6 petang, 9 Januari lalu.

Justeru pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu ketika rayuan hukuman, peguam Muhammad Aidil Akmal Sharidan yang mewakili tertuduh memohon agar anak guamnya itu dikenakan hukuman denda atas alasan wanita tersebut telah menyesal atas perbuatannya.

“Tertuduh merupakan seorang ibu kepada dua anak iaitu mangsa dan seorang lagi yang berusia enam bulan. Telah berkahwin dengan suaminya namun dalam proses penceraian. Tertuduh merupakan seorang penganggur dan menanggung kedua-dua anaknya semasa berpisah sementara dengan suami tertuduh tiada pendapatan dan menyesal dan sedih atas apa yang berlaku, selain berjanji tidak akan mengulangi kesalahan yang sama,” kata peguam itu.

Mendengar rayuan itu, Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Hairuliqram Hairuddin memohon hukuman setimpal ke atas tertuduh sebagai pengajaran selain menyifatkan kesalahan itu merupakan kesalahan serius sehingga nyawa anak kandung tertuduh tergadai.

“Mohon mahkamah mengambil kira kepentingan awam melebihi kepentingan peribadi tertuduh. Sebagai ibu kandung, tertuduh tidak sepatutnya memukul, mencubit dan menampar mangsa sehingga menyebabkan kematian,” kata Muhammad Hairuliqram.

Mengikut fakta kes, wanita itu memaklumkan mangsa mengalami demam panas dan sawan, hasil bedah siasat yang dijalankan mengesahkan punca kematian mangsa adalah trauma tumpul di bahagian kepala dan abdomen.

Hasil rakaman percakapan tertuduh mendapati mangsa dipukul, ditampar, dicubit dan dimarahi wanita itu kerana sentiasa menangis serta tidak membuang air kecil dan besar dengan teratur, tertuduh juga membiarkan mangsa yang demam serta tidak menghantarnya ke hospital.

Sementara itu di Mahkamah Majistret teman lelaki wanita itu didakwa atas pertuduhan membunuh kanak-kanak tersebut.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh Muhammad Reza Zainurin, 35, selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Amalina Basirah Md Top.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa telah membunuh seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun dua bulan di tempat sama pukul 2.36 petang pada 10 Januari lalu yang didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun tetapi tidak melebihi 40 tahun dan dikenakan sebatan tidak lebih 12 sebatan, jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Norhidayah Abdullah Sani manakala teruduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudian 24 Mac bagi sebutan semula kes dan laporan kimia.

Pada 11 Januari lalu, Kosmo! melaporkan polis Selangor mengesahkan menerima laporan berkaitan kematian seorang kanak-kanak lelaki dipercayai menjadi mangsa dera oleh ibunya bersama teman lelaki wanita itu di Taman Bukit Ampang, dekat sini.

Terdahulu, media melaporkan, kanak-kanak terbabit dibiar demam tanpa rawatan sehingga sawan selain dipukul dengan rotan. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |