Hukum zikir dengan kuat selepas solat

1 month ago 58

Benarkah dalam mazhab Syafi’i terdapat larangan untuk berzikir selepas solat dengan kuat. Saya ada mendengar sebahagian ustaz yang melarangnya dengan alasan ia adalah bidaah kerana Nabi SAW tidak pernah melakukannya. Minta penjelasan.

Jawapan: Para ulama bersepakat bahawa hukum berzikir selepas solat adalah sunat, namun mereka berbeza pandangan mengenai hukum menguatkan suara ketika berzikir. Terdapat banyak hadis sahih yang menceritakan berkenaan zikir yang diamalkan oleh Nabi SAW selepas solat. Diriwayatkan daripada Ibn Abbas RA: “Meninggikan suara ketika berzikir setelah orang ramai selesai dari sembahyang fardu telah berlaku pada zaman Rasulullah SAW.” (Riwayat al-Bukhari)

Imam al-Nawawi ketika menerangkan hadis di atas berkata: “Imam al-Syafi’i memahami hadis ini dengan makna mereka menguatkan suara dalam tempoh yang singkat untuk mengajarkan para sahabat cara berzikir, ini tidak bererti mereka membiasakan menguatkan suara, dan pendapat yang dipilih adalah bahawa imam dan makmum merendahkan suara dalam zikir, kecuali karena tujuan untuk mengajar.”

Secara umumnya, hukum berzikir secara kuat (jahar) adalah diharuskan. Imam al-Suyuti menghimpunkan sebanyak 25 dalil yang menunjukkan keharusan berzikir dengan kuat, antaranya yang diriwayatkan dalam sebuah hadis qudsi: “Allah SWT berfirman, “Aku menurut sangkaan hamba-Ku kepada-Ku, Aku bersamanya apabila dia mengingati-Ku. Kalau dia mengingati-Ku dalam dirinya (secara perlahan), maka Aku juga akan mengingatnya dalam diri-Ku.

Apabila dia mengingati-Ku dalam sebuah perkumpulan, maka Aku juga akan mengingatinya dalam perkumpulan yang lebih baik daripada perkumpulannya. Jika dia mendekat kepada-Ku sejengkal, maka Aku akan mendekat kepadanya sehasta. Jika dia mendekat kepada-Ku sehasta, maka Aku akan mendekat kepadanya sedepa. Jika dia datang kepada-Ku dengan berjalan, maka Aku akan datang kepadanya dengan berlari anak.” (Riwayat al-Bukhari)

Imam al-Suyuti ketika menjelaskan hadis ini berkata bahawa zikir dalam perkumpulan tidak berlaku melainkan secara kuat (jahar). Kemudian Imam al-Suyuti menyimpulkan bahawa: “Jika kamu perhatikan hadis-hadis yang telah kami sebutkan ini, kamu akan mengetahui dari kesemuanya bahawa tidak ada sama sekali hukum makruh untuk berzikir dengan suara kuat, malah terdapat dalil yang menunjukkan keharusannya sama ada secara jelas atau secara isyarat sebagaimana yang telah kami nyatakan.”

Di sisi mazhab Syafi’i, sunat berzikir selepas menunaikan solat fardu dengan suara perlahan (sirr). Namun, jika tujuannya untuk mengajar makmum, maka dibolehkan untuk menguatkan sedikit suara selagi tidak mengganggu jemaah lain. Syeikh Khatib al-Syirbini berkata: “Disunatkan berzikir dan berdoa secara perlahan kecuali bagi imam yang hendak mengajar orang ramai, maka dia boleh membacanya dengan kuat dan apabila mereka semua telah mengetahui hendaklah dia kembali membacanya secara perlahan.”

Secara umumnya, berzikir dengan kuat itu adalah diharuskan. Di sisi mazhab Syafi’i disunatkan untuk berzikir setelah menunaikan solat fardu secara perlahan melainkan jika bertujuan untuk mengajar makmum. Menurut Imam al-Mutawalli pandangan tersebut hanya berlaku di masjid yang dihadiri oleh jemaah sama setiap masa. Realitinya masjid di Malaysia sentiasa dihadiri oleh orang yang berbeza sehingga uruf di kebanyakan masjid akan melakukan zikir secara kuat bagi mengajar setiap orang yang datang ke masjid tersebut.

Bagaimanapun, kami menasihatkan orang ramai terutamanya para imam agar tidak berwirid setelah solat dengan suara yang sangat kuat sehingga boleh mengganggu orang sedang solat.

Selain itu, tidak sepatutnya perkara ini dijadikan sebab pertelingkahan kerana dalam sebuah kaedah fiqh, tiada pengingkaran dalam perkara yang diperselisihkan oleh ulama (khilaf).Wallahu a’lam

Read Entire Article
Pertanian | | | |