Hukum beli barang kemas pakai dulu, bayar kemudian

1 day ago 4

ASSALAMUALAIKUM, saya ada soalan berkenaan kedai yang menawarkan pembelian barang kemas secara pakai dulu, bayar kemudian secara ansuran. Apakah hukumnya?

JAWAPAN: EMAS merupakan salah satu item ribawi yang tertakluk kepada beberapa syarat-syarat khusus apabila ingin dijual dengan item ribawi seperti wang ringgit.
Perkara ini dijelaskan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh ‘Ubadah Bin al-Somit RA bahawa Nabi Muhammad saw bersabda: “Emas dijual dengan emas, perak dengan perak, gandum dengan gandum, barli dengan barli, tamar dengan tamar, garam dengan garam, timbangan dan beratnya mesti sama, dibayar secara serta-merta (bukan bertangguh).

Namun, jika jenis dan kategori barangnya berbeza, maka berjual belilah mengikut yang kamu kehendaki dengan syarat mesti diserahkan secara lani (on the spot)”. (Riwayat Muslim)
Hadis ini menjelaskan salah satu syarat yang wajib dipenuhi dalam pembelian emas dengan wang iaitu jual beli dan penyerahan kedua-dua item tersebut mesti berlaku secara lani dan tidak dibenarkan untuk berlaku secara bertangguh.

Oleh itu, pada asasnya, pembelian emas dengan wang di mana kedua-dua merupakan item ribawi yang sama illah secara ansuran adalah haram. Perkara ini disepakati oleh para ulama bagi emas jongkong, syiling dan dinar. Untuk bacaan lanjut, sila rujuk artikel Al-Kafi #1817: Hukum Membeli Emas Secara Ansuran.

Bagaimanapun, para ulama berbeza pendapat berkenaan emas perhiasan atau emas yang telah ditempah, adakah ia dikira sebagai item ribawi atau tidak?

Pendapat pertama, jumhur ulama berpandangan bahawa emas dan perak adalah item ribawi, walaupun emas perhiasan serta pembentukan emas itu menjadi perhiasan tidak memberi kesan kepada hukum tersebut.

Di sisi mereka, emas yang telah ditempah tetap tertakluk kepada hukum-hakam jual beli sorof.

Pendapat kedua: Ibn al-Qayyim dan guru beliau Ibn Taimiyah berpandangan bahawa emas perhiasan tidak dikira sebagai item ribawi kerana ia sudah tidak berfungsi sebagai medium pertukaran.

Oleh itu, pertukaran emas perhiasan dengan wang tidak tertakluk kepada hukum riba. Syeikh Taqi Uthmani juga memilih pandangan bahawa pembelian emas perhiasan dengan wang secara bertangguh adalah diharuskan dengan syarat mestilah dijual dengan harga semasa akad dilakukan.

Pendapat kedua ini juga difatwakan oleh Jabatan Fatwa Mesir (Dar al-Ifta’ al-Misriyyah) dan selari dengan keputusan oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-96 yang bersidang pada 13-15 Oktober 2011 bagi membincangkan mengenai Parameter Pelaburan Emas.

Muzakarah telah membuat keputusan:“Syarat-syarat khusus jual beli emas yang bercirikan item ribawi khas bagi emas jongkong dan syiling emas. Syarat ini tidak termasuk barang perhiasan emas kerana ia telah terkeluar daripada illah ribawi”.

Berdasarkan penjelasan di atas, boleh disimpulkan bahawa hukum pembelian emas perhiasan secara ‘pakai dulu bayar kemudian’ iaitu dengan membeli secara ansuran daripada kedai emas adalah diharuskan berdasarkan pandangan sebahagian ulama yang menyatakan bahawa emas bukan item ribawi.

Oleh itu, jual beli emas perhiasan tidak terikat dengan syarat pertukaran item ribawi. Pembelian secara ansuran menggunakan kad kredit islamik pula adalah diharuskan menurut kedua-dua pandangan kerana ia dianggap tunai dan tidak melanggar syarat pertukaran item ribawi iaitu penyerahan secara lani.

Hal ini berdasarkan keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia mengenai Parameter Pelaburan Emas:

“Pembayaran melalui kad kredit masih lagi dianggap tunai kerana pihak penjual akan mendapatkan harga jualan secara penuh dari pihak yang mengeluarkan kad kredit tersebut. Hutang yang berlaku, jika ada, adalah di antara pemegang kad dengan pengeluar kad dan bukannya dengan penjual barangan.

Status tunai ini masih lagi diterima secara urufnya oleh penjual walaupun pada hakikatnya pihak penjual akan menerima secara fizikal atau dimasukkan ke dalam akaunnya beberapa hari selepas transaksi berlaku.”

Manakala pembelian emas perhiasan menggunakan kad kredit konvensional, pinjaman tidak patuh syariah atau mana-mana instrumen mengandungi unsur riba adalah diharamkan.

Kesimpulannya, hukum membeli emas perhiasan secara pakai dulu bayar kemudian daripada kedai emas adalah diharuskan berdasarkan pandangan sebahagian ulama yang mengatakan bahawa emas perhiasan tidak dikira sebagai item ribawi.

Namun, mereka yang ingin memilih pandangan jumhur bahawa barang perhiasan emas termasuk dalam kategori item ribawi dan ingin keluar daripada khilaf untuk mengambil jalan berhati-hati dan selamat, maka boleh menggunakan salah satu alternatif berikut. Pertama, pembelian menggunakan kad kredit islamik kerana ia dianggap tunai.

Kedua, membuat pinjaman daripada pihak lain kemudian membeli emas secara tunai.

Jika pembelian tersebut melibatkan pinjaman daripada syarikat kredit yang tidak patuh syariah atau mana-mana pinjaman mengandungi riba, maka hukumnya adalah haram.

Read Entire Article
Pertanian | | | |