PETALING JAYA – Seorang wanita menceritakan pengalaman buruk apabila salah seorang rakan serumahnya tidak mandi sehingga sebulan, malah tidak bertukar pakaian dalam sepanjang tempoh tersebut.
Kisah itu diceritakan seorang pengguna TikTok menerusi komen pada satu hantaran berhubung perkongsian pengalaman bersama individu pengotor.
“Ada kawan dulu, dia sebulan tak mandi. Hanya bangun basuh mata sahaja, bukan muka ya. Lepas tu teruk bersolek dan ulang-ulang macam itu.
“Satu hari dia terkangkang, bau memang masin pekat sampai ke tekak. Rupanya dia tak pernah tukar seluar dalam,” komen Ayinnshopping.
Seorang pengguna TikTok dikenali sebagai Sara menceritakan, rakan serumahnya sering makan di dalam bilik serta tidak membuang sampah tersebut sehingga menyebabkan berulat.
“Housemate saya makan dalam bilik dia atas katil. Satu hari, kami bersihkan rumah termasuk semua bilik kami sental. Lepas tu, katil dia penuh ulat sampah yang dah kering.
“Dia hidup tapi macam mayat hidup. Dia tidur saja di situ dengan ulat-ulat tu. Kami tak bersihkan pun sebab ingat dia nak bersihkan, sampai ke sudah lah dia tak bersihkan katil dia,” katanya.
Seorang lagi pengguna TikTok turut menceritakan, rakan biliknya yang berkelakuan pelik, rupa-rupanya ‘menyimpan’ pelbagai sampah sehingga berulat di dalam laci serta lokar pakaian.
“Kami tak pernah langsung nampak dia keluar buang sampah makanan dia. Dia pun tak ada tong sampah sendiri. Kami pelik, tapi masih berdiam diri. Satu hari dia keluar bilik dan pergi kelas. Saya pun dah mandi dan bersiap ke kelas, tapi dia dah pergi dulu. Saya perhati meja dia, sekali nampak ulat sampah bergerak-gerak atas meja. Bukan seekor, dua tiga ekor.
“Cerita pada kawan lain suruh tengok-tengok bilik saya waktu ke kelas. Mereka mesej bagitahu yang mereka pergi tempat rakan bilik saya, dalam laci meja penuh makanan basi, sisa makanan dibiarkan dalam tu,” katanya.
Wanita itu berkata, sampah makanan tersebut berulat dan dipercayai telah dibiarkan lebih seminggu.
“Sampai berkeliaran ulat sampah keluar. Saya tegur dia pasal benda ni secara elok dan dia okay saja. Saya maklumkan kepada pengurusan kolej, tapi tiada tindakan.
“Kawan-kawan saya periksa tempat dia, buka lokar baju berselerak. Dalam lokar ada peti lagi, mereka buka penuh sampah makanan, sisa makanan. Bau tak payah cakap, boleh muntah. Terus buat laporan dan mereka tengah fikir apa masalah rakan bilik saya ni.
“Mereka pindahkan ke tempat lain, suruh buang sampah, tapi dia tak bersihkan sepenuhnya tempat tu. Hanya ambil barang dia. Saya rasa dia ada masalah tekanan kot,” katanya. – KOSMO! ONLINE