HFMD rekod 99,601 kes, Selangor catat jumlah tertinggi

3 hours ago 1

PUTRAJAYA- Penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) merekodkan sebanyak 99,601 kes di seluruh negara sehingga Minggu Epidemiologi ke-17 2025 berbanding 27,236 kes bagi tempoh
yang sama tahun lalu.

Kementerian Kesihatan (KKM) berkata, jumlah itu merekodkan peningkatan sebanyak 266 peratus.

“Daripada jumlah tersebut, sebanyak 10,421 kes (10 peratus) adalah berkaitan wabak, manakala
89,180 kes (90 peratus) merupakan kes yang berlaku secara sporadik.

“Lima negeri mencatatkan jumlah kes tertinggi iaitu Selangor dengan 27,118 kes, diikuti Johor (9,864 kes), Perak ( 9,347 kes), Kelantan (7,147 kes) serta Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya (6,850 kes),” katanya dalam satu kenyataan di sini tadi.

KKM berkata, secara kumulatif, terdapat 2,649 wabak berbanding 1,339 wabak bagi tempoh sama pada tahun 2024 iaitu peningkatan sebanyak 49 peratus.

“Daripada keseluruhan wabak itu, sebanyak 578 berlaku di taska, 480 di tadika, 292 di tabika dan 251 di pra-sekolah.

“Setakat ini, tiada kematian berkaitan HFMD dilaporkan,” katanya.

Setakat ini, sebanyak 38,285 premis telah diperiksa di seluruh negara melibatkan taska, tadika, tabika, pra-sekolah dan rumah kediaman.

“Daripada jumlah tersebut, sebanyak 1,140 premis telah diarahkan tutup di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988, manakala 430 premis lagi ditutup secara sukarela.

“Ibu bapa dan penjaga disaran mengamalkan langkah-langkah pencegahan seperti mencuci tangan sebelum makan dan selepas menggunakan tandas serta memastikan permainan, bilik air dan barangan kerap disentuh dibersihkan menggunakan sabun, air, atau cecair disinfeksi,” katanya.

Selain itu, barangan peribadi seperti cawan, tuala, dan berus gigi tidak boleh dikongsi.

Kanak-kanak bergejala perlu segera mendapatkan rawatan dan dilarang menghadiri pusat jagaan atau tempat awam untuk mengelakkan penularan HFMD. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |