DUNIA muzik Nusantara kembali bergema dengan satu gandingan luar biasa dua suara emas, dua benua jiwa serumpun, bersatu dalam satu nadi seni.
Tatkala irama moden semakin mendominasi pasaran, muncul pula permata tradisi yang memeluk akar budaya dengan kelembutan melodi mempesona.
Kali ini, sejarah kembali tercipta apabila Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza dan penyanyi tersohor Indonesia, Lesti Kejora berpadu dalam satu karya indah berjudul Kumbang Bunga yang menjadi simbol persaudaraan dua negara disatukan bahasa muzik sejagat.
Hasil ciptaan duo komposer berbakat, Firdaus Rahmat dan Iqie Hugh, lagu tersebut menjadi trek pembuka kepada album terbaharu Siti, sekali gus menandakan satu lagi lembaran istimewa dalam perjalanan karier seninya yang gemilang.
Lebih daripada sekadar karya, Kumbang Bunga menjalin makna mendalam menggambarkan keindahan persahabatan dan keharmonian antara dua negara serumpun, Malaysia dan Indonesia.
Irama tradisional disulam dengan elemen kontemporari menjadikan lagu tersebut jambatan emosi antara dua dunia muzik.
Karya tersebut menampilkan gabungan tiga irama utama iaitu inang, dangdut dan masri yang diadun dengan cermat dalam garapan kontemporari tradisional.
Karya terbabit menjadi lambang penyatuan cita rasa seni yang pelbagai, sekali gus menonjolkan nilai warisan muzik Melayu yang tidak lapuk dek zaman.

Dicipta dengan niat mendekati seluruh lapisan masyarakat, Kumbang Bunga dihasilkan untuk menyantuni peminat dari pelbagai generasi.
Melodi lembutnya bukan sekadar menghidupkan nostalgia, tetapi juga menjemput golongan muda untuk kembali menghargai muzik berteraskan warisan.
Siti atau nama sebenarnya Siti Nurhaliza Tarudin, 46, berkata, keindahan melodi lagu tersebut sudah memikat hatinya sejak pertama kali mendengar garapan awal daripada komposer.
Ujarnya, idea untuk menyelitkan elemen dangdut timbul kerana ingin memberi ruang kepada keunikan vokal Lesti, sekali gus menyatukan dua gaya berbeza dalam harmoni yang menawan.
“Saya gembira kerana hasrat untuk berduet dengan Lesti sudah lama dirancang dan inilah waktu yang paling tepat apabila saya tampil dengan single serta album berkonsepkan tradisional.
“Menerusi Kumbang Bunga, saya berharap lagu ini bukan sahaja diterima baik di Malaysia dan Indonesia, tetapi turut mendapat tempat di hati peminat kami di negara lain,” katanya
Nada syukur turut diluahkan Lesti atau nama sebenarnya Lestiani Andryani itu yang menganggap kolaborasi bersama Siti sebagai impian menjadi nyata.
Baginya, muzik adalah medium paling tulus untuk menyatukan dua jiwa seni tanpa perlu diterjemah dengan kata.
“Terima kasih kepada Datuk Siti kerana mengundang saya berduet dalam lagu yang sangat indah ini. Para peminat kami sudah lama mendambakan kolaborasi ini dan akhirnya menjadi kenyataan,” ujarnya teruja.
Dalam pada itu, Firdaus Rahmat selaku komposer dan penulis lagu, berkongsi bahawa proses mencipta Kumbang Bunga hanya mengambil masa dua hari sahaja untuk disiapkan.
“Lagu ini memang saya gubah khas untuk Datuk Siti dan Lesti kerana ingin menonjolkan keindahan vokal mereka dalam nuansa irama tradisional yang moden dan segar,” ujarnya.
Kumbang Bunga terbitan SN Legacy Sdn. Bhd., Trinity Optima Production serta Universal Music Sdn. Bhd. kini boleh didengari di semua pelantar digital mulai 22 Oktober 2025.
Video muzik rasmi pula akan ditayangkan pada jam 3.00 petang hari yang sama memperlihatkan keindahan kolaborasi dua suara besar Nusantara, bersatu dalam satu lagu, satu jiwa, satu cinta seni yang abadi.

5 hours ago
1






![[VIDEO] Rumah jadi longgokan sampah, penyewa enggan keluar](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/10/IMG_0507.jpeg)





![[VIDEO] Selesai lawatan di Malaysia, Trump berlepas ke Jepun](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/10/IMG_0495.jpeg)




































