Hanya premis diperakui halal dilarang pamer dekorasi Krismas – Exco

9 hours ago 5

MELAKA – Kerajaan negeri menjelaskan bahawa hanya premis yang memiliki pensijilan halal dilarang mempamer sebarang dekorasi atau simbol perayaan keagamaan, manakala premis yang tidak mempunyai sijil halal bebas menghias ruang mengikut kesesuaian.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama Negeri Melaka, Rahmad Mariman berkata, ketetapan itu selaras dengan Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia (Domestik) 2020 yang ditetapkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Menurutnya, semua premis dan produk yang dipersijilkan halal tertakluk sepenuhnya kepada garis panduan berkenaan, termasuk aspek penggunaan dekorasi, pengiklanan serta perkhidmatan berbentuk keagamaan.
“Bagi tujuan menjaga sensitiviti semua pihak yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan agama, apa sahaja paparan dekorasi atau simbol yang berkaitan dengan perayaan keagamaan adalah tidak dibenarkan di dapur serta ruang utama restoran yang bersijil halal.

“Ini bertujuan bagi menjaga kejelasan status halal serta mengelakkan kekeliruan dalam kalangan pengguna,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai kenyataan DAP Melaka berhubung notis oleh Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) berkaitan larangan tersebut yang didakwa memberi kesan negatif kepada para usahawan serta menjejaskan imej Melaka sebagai negeri pelancongan.

Katanya, hiasan perayaan tidak sepatutnya menjadi isu kerana Malaysia merupakan sebuah negara majmuk, sehubungan itu pihaknya meminta penjelasan daripada Ketua Menteri Melaka.

Dalam pada itu Rahmad menjelaskan, larangan tersebut meliputi sebarang bentuk dekorasi atau pengiklanan yang bercanggah dengan prinsip hukum syarak, mengandungi unsur tidak sopan, bertentangan nilai moral atau boleh memberi implikasi negatif kepada Pensijilan Halal Malaysia.

Ujarnya, penggunaan pernyataan, lambang, istilah atau nama yang berunsurkan keagamaan dan ketuhanan seperti nama Allah, makanan sunnah, nama dewa dan seumpamanya juga tidak dibenarkan digunakan pada produk atau perkhidmatan bersijil halal.

“Bagaimanapun, saya menegaskan bahawa tiada larangan dikenakan terhadap dekorasi perayaan Krismas, Aidilfitri, Deepavali atau perayaan lain di kawasan hotel atau premis yang tidak dipersijilkan halal.

“Sebagai contoh, kawasan lobi hotel atau ruang lain yang tidak berada di bawah pensijilan halal adalah bebas untuk dihias mengikut kesesuaian selagi mematuhi undang-undang serta peraturan pihak berkuasa tempatan,” katanya.

Menurut beliau, pendekatan itu bukan bertujuan menafikan hak mana-mana pihak untuk meraikan perayaan masing-masing, sebaliknya bagi memelihara integriti pensijilan halal serta menjaga keharmonian masyarakat majmuk.

Kata Rahmad lagi, pemilikan sijil halal bukan satu kewajipan, namun pematuhan terhadap peraturan pensijilan halal adalah wajib kepada mana-mana pihak yang memilih untuk memilikinya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |