SEPANG – Pelumba berbakat negara, Hakim Danish Ramli berdepan cabaran getir untuk bersaing dengan kelompok hadapan apabila akan memulakan perlumbaan di Grand Prix (GP) Malaysia di petak ke-14 selepas berdepan tentangan cukup sengit pada sesi Kelayakan Dua (Q2) di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) hari ini.
Anak jati Terengganu itu menamatkan sesi kelayakan tersebut dengan catatan masa dua minit 11.487 saat (s), sekali gus memulakan perlumbaan di barisan kelima grid perlumbaan pada Ahad nanti.
Walaupun ketinggalan 1.641s di belakang pelumba Sepanyol, David Almansa yang menempah petak utama, namun Hakim Danish tidak berputus asa dan akan memberikan sehabis baik ketika turun berlumba di hadapan ribuan penyokong Malaysia.
“Saya gembira dengan sesi kelayakan pada hari ini dan saya akan memberikan tumpuan penuh pada perlumbaan dan beri terbaik pada perlumbaan esok,” katanya.
Menjelang perlumbaan esok, Hakim Danish dilihat gembira selepas dinaikkan pangkat bersaing di kelas Moto3 bersama pasukan MSi Racing Team musim depan dengan kontrak perjanjian setahun.
HAKIM Danish bersedia memberikan aksi terbaik menjelang perlumbaan sebenar esok.Pelumba Jepun, Taiyo Furusato (Honda Team Asia), akan bermula dari petak kedua dengan masa 2:09.940s, manakala seorang lagi pelumba Sepanyol, Jose Antonio Rueda (Red Bull KTM Ajo), melengkapkan barisan hadapan di tempat ketiga dengan catatan 2:10.076s.
Almansa mengakui gembira dengan keputusan tersebut terutama usaha gigih pasukannya menyediakan jentera terbaik sepanjang minggu ini yang menjadi kunci kepada kejayaannya.
“Sudah tentu, kami sangat gembira dengan petak utama kedua saya ini. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada seluruh pasukan kerana mereka telah melakukan kerja yang sangat cemerlang pada minggu ini.
“Secara keseluruhannya, kami amat gembira dan sudah bersedia sepenuhnya untuk perlumbaan esok,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE

2 hours ago
4

















































