Hakim Danish semakin laju di Sepang

6 hours ago 3

SEPANG – Pelumba muda negara, Hakim Danish Ramli mempamerkan tunggangan cemerlang apabila mencatatkan masa keenam terpantas pada sesi Latihan Bebas Dua (FP2) kelas Moto3 Grand Prix (GP) Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) hari ini.

Pelumba pasukan AEON Credit SIC Racing MSI itu membuktikan beliau semakin selesa dengan jentera KTM apabila merekodkan masa pusingan terbaik 2 minit 10.576 saat (s).

Catatan itu menyaksikan pelumba berusia 18 tahun tersebut hanya ketinggalan 0.416s di belakang pelumba terpantas Jepun, Ryusei Yamanaka dari pasukan Frinsa-MT Helmets-Msi yang mencatat 2:10.160s.

Kedudukan kedua dan ketiga masing-masing menjadi milik duo Leopard Racing Honda, David Almansa (2:10.253s) dan Adrian Fernandez (2:10.358s).

Keputusan positif itu pastinya menjadi suntikan semangat buat Hakim Danish menjelang sesi Kelayakan Dua (Q2) yang dijadualkan berlangsung pada pukul 1.10 tengah hari ini.

HAKIM Danish mencatat masa keenam terpantas pada sesi Latihan Bebas Kedua (FP2) di Sepang hari ini.

“Saya akan berikan yang terbaik pada sesi kelayakan nanti dan tidak terlalu memikirkan kedudukan petak. Fokus saya hanyalah kepada tunggangan sendiri dan hanya mahu fullgas pada sesi tersebut,” katanya.

Jika dilihat kepada catatan masa yang direkodkan, prestasi anak jati Terengganu itu menunjukkan peningkatan apabila pada sesi Latihan Bebas Pertama (FP1) semalam, Hakim Danish mencatat masa 2 minit 11.317 saat, manakala pada sesi berikutnya beliau merekodkan 2 minit 11.820 saat.

Sementara itu, dalam kelas Moto2, nasib tidak menyebelahi dua pelumba wildcard negara, Azroy Hakeem Anuar dan Helmi Azman selepas pelumba PETRONAS MIE Racing RW itu sekadar menamatkan sesi di kedudukan ke-28 dan ke-30.

Bagaimanapun, kedua-dua pelumba itu menunjukkan peningkatan positif apabila berjaya memperbaiki catatan masa pusingan berbanding dua sesi latihan sebelumnya. -KOSMO! ONLINE.

Read Entire Article
Pertanian | | | |