OSEPANG – Pelumba muda negara, Hakim Danish Ramli bakal memulakan saingan Grand Prix (GP) Malaysia Moto3 dari petak ke-13, selepas mendapat manfaat daripada penalti grid yang dikenakan ke atas pelumba lain pada sesi kelayakan di Litar Antarabangsa Sepang, hari ini.
Hakim Danish yang beraksi bersama pasukan AEON Credit SIC Racing MSi, menamatkan Kelayakan Dua (Q2) di kedudukan ke-14 terpantas dengan catatan masa 2 minit 11.487 saat.
Namun, pelumba berusia 18 tahun itu naik satu tangga selepas pelumba Sepanyol, Brian Uriarte dari pasukan LIQUI MOLY DYNAVOLT INTACT GP dikenakan penalti sembilan petak oleh Stewards FIM MotoGP kerana menunggang secara perlahan dalam sesi kelayakan Q2.
HAKIM Danish semangat hadapi perlumbaan sebenar esok.“Perasaan saya semasa sesi kelayakan tadi memang berbeza daripada perlumbaan yang pernah saya sertai seperti JuniorGP dan Red Bull Rookies Cup.
“Saya ada buat beberapa kesilapan dan hampir terjatuh, tetapi berjaya mengawal keadaan dengan baik. Saya akan cuba perbaiki kelemahan dari segi catatan masa dan posisi untuk perlumbaan nanti,” kata pelumba kelahiran Terengganu itu.
Debut di Sepang ini dianggap detik penting dalam perjalanan karier Hakim Danish, bukan sahaja sebagai pendedahan berharga, tetapi juga sebagai persediaan menuju musim 2026 apabila beliau bakal beraksi sepenuh masa bersama MSi Racing Team di Kejuaraan Dunia Moto3.
Sementara itu, pengurus pasukan, Zulfahmi Khairuddin, menganggap pencapaian Hakim Danish amat positif memandangkan dia berjaya menempatkan diri di kelompok pertengahan grid dalam cuaca ekstrem.
“Cuaca petang ini paling panas sepanjang minggu, dengan suhu litar mencecah 68 darjah Celsius. Jadi bagi saya, kedudukan itu sudah cukup baik untuk debut wildcard pertamanya,” katanya.
Perlumbaan esok dijangka berlangsung sengit dengan pelumba Leopard Racing, David Almansa, bermula dari petak utama, diikuti Taiyo Furusato (Honda Team Asia) dan Jose Antonio Rueda (Red Bull KTM Ajo) turut di barisan hadapan. -KOSMO! ONLINE

4 hours ago
5





![[VIDEO] Lelaki dipercayai sakit mental meluru ke arah keluarga diraja Thailand](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/10/Thai-Istana.jpg)











































