Hakim Danish bangkit dari jatuh sebelum sambar podium                 

21 hours ago 8

KUALA LUMPUR – Pelumba sensasi negara, Hakim Danish Ramli meneruskan aksi cemerlang apabila sekali lagi menaiki podium selepas menamatkan perlumbaan Red Bull MotoGP Rookies Cup di kedudukan kedua di Litar Le Mans, Perancis, hari ini.

Dalam perlumbaan Pusingan 2 yang berlangsung dalam keadaan litar basah, pelumba berusia 17 tahun itu mempamerkan semangat juang luar biasa apabila bangkit selepas terjatuh di selekoh kedua sebelum menamatkan saingan dengan penuh bergaya di pentas podium.

Walaupun insiden itu menyaksikan Hakim tergelincir ke kedudukan terakhir, anak jati Terengganu itu enggan mengibarkan bendera putih, sebaliknya memecut semula dan memintas satu demi satu pelumba di hadapannya.

Tuah jelas memihak kepada anak jati Terengganu itu apabila pelumba Australia, Carter Thompson, terjatuh pada pusingan terakhir membolehkan Hakim menamatkan perlumbaan di tempat kedua.

HAKIM Danish berjaya bangkit selepas terjatuh sebelum menyambar podium tempat kedua di Litar Le Mans, Perancis, hari ini.

“Saya fikir saya akan hilang podium tetapi saya bangkit mengangkat motosikal saya untuk meneruskan perlumbaan semula. Selepas itu, saya cuba kekal tenang dan memintas pelumba dihadapan sebanyak yang boleh. Pada akhirnya, saya dapat menamatkan perlumbaan kedudukan kedua.

“Saya gembira kerana walaupun terjatuh masih mampu untuk berada di pentas podium di tempat kedua. Terima kasih yang tidak terhingga kepada pasukan, penaja, dan keluarga saya atas sokongan ini,” katanya.

Kejayaan itu menyaksikan Hakim Danish kini telah mengumpul empat podium tempat kedua berturut-turut dalam dua pusingan perlumbaan, sekali gus terus mengukuhkan kedudukannya sebagai pendahulu kejuaraan dengan 80 mata.

Saingan terdekatnya, Benat Fernandez yang menjuarai perlumbaan di Le Mans kini berada di kedudukan kedua keseluruhan dengan mengumpul 57 mata, diikuti rakan senegara, Brian Uriarte (50 mata), manakala Thompson kini di tempat keempat dengan 48 mata. -KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |