Hafizh sebar mesej positif menerusi ABKL

10 hours ago 6

KUALA LUMPUR – Bekas pelumba Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) negara, Hafizh Syahrin Abdullah mengakui lebih selesa ‘bersantai’ dalam dunia maya menerusi permainan video popular, Grand Theft Auto (GTA).

Menjadi ikon dalam komuniti Adik Beradik Kuala Lumpur (ABKL) Roleplay, dia yang lebih dikenali sebagai El Pescao menjelaskan, penglibatannya dalam dunia permainan video adalah sebagai medium untuk mengeratkan silaturrahim.

Hafizh berkata, dia sangat gembira kerana akhirnya dapat bersua muka dengan rakan-rakan yang selama ini hanya berhubung dalam ABKL pada Ekspo ABKL Experience 2025 yang berlangsung di sebuah hotel di sini, hari ini.

“Ini kali pertama saya hadir (ekspo) kerana tahun lalu bertembung dengan komitmen perlumbaan. Acara ini bagus untuk komuniti kerana kami boleh berinteraksi secara berdepan,” katanya ketika ditemui pada sidang akhbar ABKL Experience 2025.

Pelumba pasukan JDT Racing itu yang beraksi dalam Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) turut menjelaskan, ABKL bukan sekadar permainan video kerana ia mendidik pemain untuk lebih berdisiplin.

“Dalam permainan itu, saya membawa watak Yaka Leng sebagai seorang penjual burger kerana sebelum ini saya menjadi mekanik. Ia seperti kehidupan sebenar kerana setiap orang ada peranan masing-masing,” ujar Hafizh.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif ABKL, Muzammil Mudzakir berkata, ABKL Experience 2025 dianjurkan sebagai platform rasmi untuk memperkenalkan keselruhan ekosistem ABKL kepada masyarakat serta media.

“Acara ini menunjukkan perkembangan dunia roleplay tempatan termasuk teknologi pelayan, sistem permainan, pencipta kandungan serta potensi kerjaya dalam industri digital dan e-Sukan,” ujarnya.

Tambah beliau, kehadiran ikon sukan negara seperti Hafizh memberi impak cukup besar dalam membentuk komuniti digital yang lebih positif serta sihat. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |