Guangxi diseru buka lebih banyak laluan terus ke Malaysia

10 hours ago 4

KUALA LUMPUR – Malaysia dan wilayah Guangxi di China diseru memperhebat perdagangan serta pelaburan dua hala bagi melonjakkan kerjasama ke tahap lebih tinggi.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, kedua-dua pihak wajar membina ekosistem pengeluaran bersama dalam bidang elektronik, tenaga hijau dan pertanian bagi memacu pertumbuhan ekonomi baharu.

“Dengan menggabungkan kekuatan logistik Guangxi bersama pelabuhan, zon bebas dan taman perindustrian Malaysia, kita boleh wujudkan rantaian bekalan baharu serta pelaburan berkualiti tinggi.

“Kerjasama ini juga seiring dengan Pelan Induk Perindustrian Baharu Malaysia 2030 dan Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) oleh China,” katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Ke-21 World Guangxi Fellow Association di sini malam ini.

Ahmad Zahid berkata, selain perdagangan dan pelaburan, dua bidang tumpuan lain ialah memperluas sektor pelancongan secara mampan dan menghubungkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di kedua-dua wilayah.

Menurutnya, Malaysia kini mahu memperbanyak penerbangan terus antara Guangxi dan bandar utama Malaysia, memandangkan sektor pelancongan mampu memperkukuh hubungan rakyat kedua-dua negara.

“Dengan kemudahan perjalanan tanpa visa dan pakej pelancongan bertema seperti warisan, eko, mesra Muslim serta pendidikan, kita mampu tarik lebih ramai pengunjung untuk tinggal lebih lama dan berbelanja di sini,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah menegaskan, PKS ialah tulang belakang ekonomi, dan kerjasama dalam bidang e-dagang, kewangan digital, logistik serta industri kreatif mampu melahirkan usahawan baharu serantau.

Ahmad Zahid turut menyifatkan Malaysia dan Guangxi sebagai ‘rakan semula jadi’ yang berkongsi visi ke arah kemakmuran bersama.

“Koridor darat–laut Guangxi menghubungkan pedalaman China dengan ASEAN, manakala lokasi strategik Malaysia pula menghubungkan rantau ini dengan ekonomi global. Bersama-sama, kita mampu bina jambatan ekonomi kukuh,” ujarnya.- KOSMO! ONLINE.

Read Entire Article
Pertanian | | | |