JOHOR BAHRU – Kegiatan sekumpulan sembilan individu yang dikenali sebagai Geng Richi yang aktif melakukan jenayah pecah rumah, kedai dan curi kenderaan sejak tiga tahun lalu tersungkur selepas mereka diberkas dalam serbuan antara 21 September hingga 28 September lalu di sekitar negeri Johor.
Timbalan Ketua Polis Johor, Deputi Komisioner Abdul Latiff Mehat berkata, mereka yang ditahan terdiri daripada tujuh lelaki dan dua wanita tempatan yang berusia antara 21 hingga 37 tahun.
Menurutnya, siasatan awal mendapati ‘mastermind’ merupakan bekas banduan berusia 21 tahun ini yang akan menentukan rumah atau kedai yang akan dipecah masuk.
“Modus operandi mereka, selepas memecah masuk rumah atau kedai, mereka akan melarikan kenderaan yang mana kemudian kenderaan dicuri itu akan digunakan untuk melakukan jenayah sama di premis lain.
“Mereka memecah masuk rumah atau kedai apabila ada peluang dan rumah sasaran mereka antaranya rumah-rumah kampung,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini, hari ini.
Beliau berkata, kenderaan sasaran mereka untuk dicuri pula adalah Proton Wira, Proton Satria dan Perodua Kancil memandangkan model kenderaan itu tidak dilengkapi ciri-ciri keselamatan.
Jelas beliau, geng itu sudah aktif sekitar Johor Bahru, Seri Alam, Kulai, Pontian, Kluang dan Batu Pahat sejak 2022.
Katanya, lapan daripada sembilan suspek pernah dipenjara atas kes jenayah yang sama, namun seperti tidak serik dan seolah menjadikan ia satu profesion atau sumber pendapatan.
“Dengan tangkapan geng ini, kita berjaya menyelesaikan 32 kes dengan 15 kes pecah kedai, lapan kes pecah rumah dan sembilan kes curi kenderaan yang mana keseluruhan nilai kecurian lebih RM100,000.
“Kes ini membabitkan satu kes di Johor Bahru, enam di Iskandar Puteri, sembilan (Seri Alam), empat (Kulai), tiga (Batu Pahat), tiga (Pontian), lima (Kluang) dan satu (Muar).
“Kita juga sedang menyiasat sama ada mereka ada pembabitan dalam dua kes di Kemaman, Terengganu,” katanya.
Abdul Latiff berkata, sebanyak 32 kertas siasatan telah dirujuk ke Pejabat Pendakwa Raya dan 18 daripadanya mendapat arahan pertuduhan.
Katanya, sebanyak lapan pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah; tujuh pertuduhan Seksyen 339A/411 Kanun Keseksaan kerana curi kenderaan atau terima harta curi secara tidak jujur, dua pertuduhan Seksyen 411 Kanun Keseksaan dan satu pertuduhan Seksyen 448 Kanun Keseksaan kerana ceroboh rumah.
“Salah seorang suspek sudah dituduh di Mhkamah Majistret Kluang, manakala lima lagi akan dituduh hari ini Mahkamah Johor Bahru, Kulai dan Batu Bahat,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE