Gempa bumi 7 magnitud melanda Taiwan

8 hours ago 3

TAIPEI – Gempa bumi bermagnitud 6.6 melanda kawasan luar pesisir pantai timur laut Taiwan malam semalam menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS), menjadikannya gegaran besar kedua yang melanda pulau berkenaan dalam tempoh beberapa hari.

Agensi cuaca Taiwan yang meletakkan magnitud gempa itu pada 7.0, berkata,  gempa itu berlaku pada pukul 11.05 malam (waktu tempatan) pada kedalaman 73 kilometer di laut luar daerah Yilan, barat daya Taipei.

Biro Bomba Daerah Yilan memberitahu AFP bahawa setakat ini tiada laporan segera mengenai kematian atau kerosakan.

Gempa tersebut menyebabkan bangunan di ibu negara Taipei bergoyang dan media tempatan melaporkan gegaran turut dirasai di seluruh Taiwan.

Ia juga menyebabkan gangguan sementara bekalan elektrik di sebuah bandar di Yilan, menurut Agensi Bomba Kebangsaan, sambil menambah bahawa tiada kerosakan besar dilaporkan.

Perbadanan Kereta Api Taiwan berkata, operasi empat perkhidmatan kereta api di Yilan digantung sehingga menyebabkan lebih 270 penumpang terjejas.

Pihak berkuasa berkata, laluan metro Taipei beroperasi pada kelajuan rendah selama kira-kira 20 minit.

Perdana Menteri, Cho Jung-tai menggesa orang ramai supaya kekal berwaspada dan mengambil berat terhadap keselamatan jiran-jiran dalam satu kenyataan yang dikeluarkan selepas gempa tersebut.

“Selepas pemeriksaan berulang dilakukan di pelbagai lokasi, hanya insiden kecil dilaporkan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Taiwan kerap dilanda gempa bumi kerana kedudukannya di pinggir dua plat tektonik berhampiran Lingkaran Api Pasifik yang menurut USGS merupakan zon paling aktif secara seismik di dunia.

Pada Rabu lalu, gempa bermagnitud 6.0 melanda tenggara pulau itu. – AFP

Read Entire Article
Pertanian | | | |