Gangguan sistem semboyan jejas laluan Putrajaya

6 hours ago 3

PETALING JAYA – Perkhidmatan tren di Laluan Putrajaya mengalami kelewatan susulan gangguan sistem semboyan yang dikesan antara Stesen Kwasa Damansara dan Stesen Putrajaya Sentral, hari ini.

Rapid Rail Sdn. Bhd. (Rapid Rail) dalam satu kejayaan berkata, gangguan tersebut menyebabkan tren terpaksa dipandu secara manual bagi memastikan keselamatan penumpang, sekali gus menyebabkan tren bergerak lebih perlahan dan berhenti lebih lama di setiap stesen.

“Sebagai langkah alternatif, perkhidmatan bas perantara ulang-alik percuma disediakan bagi membantu penumpang meneruskan perjalanan ke destinasi masing-masing,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, antara laluan bas perantara yang disediakan ialah di antara Stesen Kwasa Damansara dan Stesen Sungai Buloh, Stesen Sungai Buloh dan Stesen Sri Delima, Stesen Sri Delima dan Stesen Sentul Barat, serta Stesen Sentul Barat dan Stesen Ampang Park.

“Perkhidmatan ini turut merangkumi laluan antara Stesen Ampang Park dan Stesen Tun Razak Exchange (TRX) serta Stesen TRX dan Stesen Taman Naga Emas.

“Selain itu, bas perantara turut beroperasi di antara Stesen Taman Naga Emas dan Stesen Serdang Raya Selatan, Stesen Serdang Raya Selatan dan Stesen UPM, Stesen UPM dan Stesen 16 Sierra, serta Stesen 16 Sierra dan Stesen Putrajaya Sentral,” katanya.

Rapid Rail berkata, pasukan kejuruteraan telah berada di lokasi bagi menjalankan kerja-kerja baik pulih bagi memulihkan operasi sepenuhnya secepat mungkin.

“Bagi memastikan keselamatan dan kelancaran pergerakan penumpang, anggota polis bantuan serta petugas stesen turut ditempatkan di platform dan ruang legar untuk memberikan bantuan.

“Pengumuman berkala juga dibuat di semua stesen terlibat bagi memaklumkan status perjalanan tren,” katanya.

Rapid Rail turut menasihatkan penumpang supaya merancang perjalanan lebih awal serta menggunakan alternatif pengangkutan lain bagi mengelakkan kelewatan, selain merujuk laman media sosial Rapid KL untuk maklumat terkini. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |