KUALA LUMPUR – Anggota kumpulan Zero, Atu mengakui isu kewangan adalah merupakan punca kemelut persaudaraan dengan abangnya, Sharif Zero yang sudah berlarutan sejak dua tahun lalu.
Atu atau nama sebenar, Sharif Kunal Doli Sharif, 33, berkata, persengketaan antara mereka disebabkan pelbagai masalah yang dipendam lama sehingga akhirnya membawa kepada pertelingkahan adik-beradik.
“Apabila masalah sudah lama dipendam dan akhirnya meletup, memang susah untuk dibendung lagi. Puncanya pula agak mendalam.
“Dalam konteks industri, saya boleh katakan ada kaitan dengan masalah kerja dan isu kewangan juga salah satu punca faktor.
“Namun, jika dikumpulkan semua, apa yang saya perlukan hanyalah satu permohonan maaf, bukan kepada saya sahaja tetapi kepada keluarga,” katanya ditemui usai tayangan perdana filem Duyung: Legenda Aurora, di sini, semalam.
Ujar Atu, rasa sayang terhadap kumpulan Zero yang dibina bersama Sharif dan Melati sejak 12 tahun lalu masih tebal dalam jiwanya.
Dalam pada itu, dia bagaimanapun bersedia untuk menurunkan ego bagi memulihkan sengketa antara mereka.
“Kalau hanya sebab satu isu boleh melupakan segalanya, itu terpulang kepada dia.
“Saya tetap akan teruskan kerana ini sudah menjadi sebahagian daripada kerja dan punca rezeki saya. Jadi, apa pun saya kena teruskan.
“Ramai nasihatkan supaya tidak diperbesarkan masalah ini dan sebagai adik, saya sanggup menurunkan ego demi kebaikan semua,” ujarnya.
Bagi menjernihkan kembali hubungan, dia sudah melakukan pelbagai cara termasuk menawarkan peluang bekerjasama dengan Sharif tetapi tidak menerima sebarang respons.
“Saya memang ada usaha seperti memanggil Zero untuk membuat persembahan bersama namun respons yang diterima hanyalah diam seribu bahasa.
“Jadi kami teruskan dengan berdua (bersama Syaiful). Kalau dilihat dalam Instagram dan TikTok, Sharif juga sudah tidak mengikuti saya,” katanya lagi.
Sementara itu, Syaiful pula berharap agar segala permasalahan diselesaikan sebaik mungkin sebelum berlarutan menjadi lebih teruk kelak.
“Saya tiada masalah dengan Sharif dan Atu dan pandai-pandailah mereka perbetulkan keadaan. Kalau boleh, selesaikan awal-awal.
“Jangan tunggu sampai timbul masalah besar, baru hendak bermaaf-maafan. Kalau boleh, berdamai segera,” jelasnya.
Terdahulu, Sharif pernah berkongsi kisah hidup Atu menerusi temu bual dalam podcast mengenai adiknya itu yang hampir terjerumus dengan aktiviti penyalahgunaan dadah kerana salah pilih kawan.
Dakwaan tersebut sekali gus dikatakan menjadi antara punca konflik antara mereka sehingga hari ini. – KOSMO! ONLINE

2 hours ago
1

![[VIDEO] 10 jam tunggu keluar KLIA, pasport tertinggal dalam pesawat](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/12/WhatsApp-Image-2025-12-18-at-6.16.31-PM.jpeg)















































