RAUB – Kira-kira 200 orang terdiri daripada lapan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berhimpun di Sungai Chalit di sini hari ini bagi menyuarakan sokongan padu terhadap tindakan tegas Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) dalam menangani isu pencerobohan tanah di Sungai Ruan, baru-baru ini.
Perhimpunan yang diketuai Pengerusi Gabungan NGO Ops Bangkit Bebaskan Tanah Air 2025, Masridzi Sat, turut menyaksikan lebih 22 laporan polis dibuat di Ibu Pejabat polis Daerah (IPD) Raub terhadap insiden pencerobohan tanah dan provokasi yang didakwa dilakukan oleh Ahli Parlimen Raub, Chow Yu Hui.
Masridzi berkata, gabungan berkenaan menyelar tindakan Yu Hui yang didakwa menengking dan menghina pasukan penguat kuasa UPNP ketika mereka menjalankan operasi menebang pokok durian di tanah kerajaan yang telah diceroboh.
“Kami menyokong penuh tindakan UPNP dan kerajaan negeri dan mengharapkan pihak berkuasa dapat bertindak dengan lebih tegas termasuk menggunakan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) kepada Ahli Parlimen Raub dan sekumpulan penceroboh tanah yang menengking, menghina, menghalang dan membuat provokasi kepada penjawat awam yang sedang menjalankan tugas.
“Ahli Parlimen ini (Yu Hui) bertindak seolah-olah beliau telah menjadi wakil kepada penceroboh tanaman durian musang king, bukannya menjadi wakil rakyat sebenar yang sepatutnya membela nasib keseluruhan rakyat di Raub.
“Ahli Parlimen ini juga didapati tidak menghormati keputusan mahkamah, tidak taat sebaliknya derhaka kepada perintah tuanku (Al Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah) dan menghasut penduduk serta penceroboh tanah musang king untuk melawan kerajaan , negeri, “katanya ketika ditemui pada himpunan NGO berkaitan isu pencerobohan tanah di Sungai Chalit dekat sini, hari ini.
Bagi Pengerusi Gerakan Martabat Pejuang Negeri (GMPN), Sazali Mansor, pihaknya menzahirkan sokongan penuh terhadap tindakan tegas pihak berkuasa membanteras pencerobohan tanah kerajaan, sambil menyeru agar operasi ini diteruskan sehingga daerah Raub bebas sepenuhnya daripada sebarang aktiviti haram. – KOSMO! ONLINE