Gabungan elemen oriental dan Melayu tonjol kesopanan gadis Asia

3 days ago 9

GABUNGAN fesyen oriental dan Melayu dalam inspirasi kelembutan gerakan alam semula jadi menjadi nuansa yang menyelubungi koleksi kapsul eksklusif antara platform fesyen Dia Gulid dan jenama tempatan, Tangsi Tujuh.

Dilancarkan untuk jualan kedai fizikal dan dalam talian baru-baru ini, koleksi kapsul yang diberi nama Liuk itu mencerminkan elemen Malaysia dalam jalinan dua kesenian fesyen dan budaya utama di negara ini.

Menurut pengurus Tangsi Tujuh, Nazsya, idea dan konsep koleksi Liuk merupakan gabungan antara dua entiti yang mempunyai persamaaan dalam mengetengahkan kelembutan dan kesopanan gadis Asia.

“Koleksi ini meraikan bukan sahaja gabungan dua jenama fesyen tempatan tetapi juga sempena ulang tahun ketujuh Tangsi Tujuh bertapak dalam industri fesyen negara.

“Setiap rekaan dalam koleksi ini membawa identiti kedua-dua kami dengan meraikan keindahan seni fesyen dan budaya serta keindahan Malaysia sebagai sebuah negara yang kaya dengan landskap alam sekitar,” katanya ketika ditemu bual CitaRasa di butik Dia Guild, Pusat Beli-Belah Bangsar Village 2, Bangsar, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Tambahnya, inspirasi koleksi ini datang daripada memerhatikan pergerakan alam semula jadi yang lembut, namun bermatlamat, terutamanya buluh yang bergoyang ditiup angin.

Setiap rekaan baju menyelitan pelbagai perincian yang signifikan dengan seni tekstil oriental dan Melayu bagi menghidupkan tema dalam koleksi Liuk.

Setiap koleksi menampilkan pelbagai hiasan sulaman tangan yang direka secara eksklusif dengan motif bunga-bungaan seperti bunga clematis meletakkan asas bagi naratif koleksi tentang daya tahan dan keanggunan.

corak-corak yang dihasilkan bernuansa alam semula jadi.
– Foto IQBAL ROSLI

Penggunaan fabrik seperti linen, sifon, sutera dan kapas dalam rona warna yang lembut dan pastel juga diterapkan ke arah mencerminkan kualiti dan nilai eksklusif serta keselesaan si pemakai.

“Setiap helai pakaian memberi elemen kelembutan seorang gadis yang hidup dalam budaya penuh adat dalam kelas yang tersendiri.

“Alunan gerakan alam juga dicerminkan menerusi perincian sulaman dan fabrik yang digunakan, menjadikan sebagai koleksi dengan identiti Malaysia,” ujarnya.

Sementara itu, pengasas bersama Dia Guild, Aisha Hassan, memberitahu idea kolaborasi koleksi kapsul Liuk bermula sejak tahun lalu dan mengambil masa empat bulan sebelum dilancarkan kepada umum.

Kongsinya, Liuk merupakan koleksi eksklusif yang dihasilkan dengan jumlah terhad, selari dengan nilai eksklusif setiap rekaan.

Selain daripada penggunaan fabrik mesra alam, yang selaras dengan nilai pengguna moden, koleksi ini juga menekankan ketukangan.

“Kebanyakan kepingan mempunyai jahitan Perancis dan semua sulaman dilakukan menggunakan teknik tradisional, mengekalkan keaslian dan bertindak balas terhadap pemeliharaan warisan.

“Koleksi ini juga dihasilkan dalam kuantiti terhad dan hanya dikeluarkan dalam satu kelompok, memastikan eksklusiviti.

“Ekspresi artistik dalam reka bentuk dan perhatian terhadap perincian membezakannya daripada yang lain,” jelasnya.

Kongsinya lagi, menerusi koleksi ini pihaknya mahu mengekalkan kraf tradisional sambil menjadikannya relevan dalam gaya masa kini.

Pihaknya juga berhasrat untuk meraikan warisan budaya melalui reka bentuk yang memperkasa artis tempatan serta mempromosikan pergerakan fesyen yang mampan dan perlahan.

Read Entire Article
Pertanian | | | |