FIFPRO kecam tindakan FIFA ke atas pemain warisan

4 hours ago 1

PERSEKUTUAN Antarabangsa Pemain Bola Sepak Profesional (FIFPRO) berharap masih ada sinar buat tujuh pemain warisan Harimau Malaya dengan mengecam keputusan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) menggantung mereka selama 12 bulan sejak September lepas.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh FIFPRO semalam, hukuman yang diberikan oleh badan induk bola sepak dunia itu dianggap sangat keras dan tidak setara dengan keadaan sebenar yang dilalui oleh semua pemain warisan terbabit.

FIFPRO berkata, tujuh pemain warisan yang menyertai revolusi skuad Harimau Malaya hanyalah ‘mangsa’ keadaan atas kesilapan sekreteriat Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) ketika menghantar segala dokumentasi untuk mengesahkan taraf kelayakan mereka.

“Sudah jelas semua pemain ini sebenarnya ‘mangsa’ dalam hal ini. Keputusan (FIFA) sendiri mengesahkan bahawa mereka tidak memalsukan sebarang dokumen untuk mendapatkan kelayakan, malah mengakui dengan jelas bahawa dokumen yang mereka serahkan adalah tulen.

“Apabila semua pemai berada dalam situasi yang sama, jelas bahawa sebarang dokumen palsu (jika ada) bukanlah hasil tindakan individu pemain.

“Para pemain juga tiada cara untuk mendapatkan pengesahan yang mengikat daripada FIFA secara individu mengenai kelayakan mereka, satu prosedur yang sebenarnya tidak pun diwajibkan di bawah peraturan sedia ada.

“Jadi, sangat membimbangkan apabila mereka disalahkan atas dokumen yang dihantar oleh FAM kepada FIFA, serta kewajipan yang kelihatan seperti memerlukan mereka mengesahkan dokumen yang bukan mereka keluarkan atau serahkan,” kata FIFPRO.

Sementara itu, FIFPRO turut menjelaskan semua pemain sudah mengikut prosedur mengikut saluran yang disahkan oleh pihak kerajaan.

“Mereka menghantar dokumen peribadi, hadir di hadapan pihak berkuasa Malaysia, menjalani upacara angkat sumpah, menerima pasport yang dikeluarkan kerajaan dan menunggu kelulusan kelayakan daripada FAM.

“Semua langkah ini dikendalikan oleh institusi luar kawalan mereka, namun kini mereka berdepan penggantungan daripada kelab dan akibat serius yang bakal menyusul, semuanya bukan salah mereka.

“FIFPRO menyatakan sokongan penuh kepada para pemain ini dan percaya Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) akan membatalkan hukuman tersebut,” katanya.

Read Entire Article
Pertanian | | | |