FIFA bina 1,000 padang mini

4 hours ago 6

PETALING JAYA – Sekurang-kurangnya 1,000 padang mini bola sepak di seluruh dunia akan dibina oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) menerusi Arena FIFA, iaitu inisiatif global badan induk bola sepak dunia berkenaan.

Malaysia juga antara negara yang menerima manfaat berkenaan dalam usaha menjadikan bola sepak sebagai alat pembangunan sosial sejagat.

Presiden FIFA, Gianni Infantino berkata, pihaknya turut menuntut kerjasama daripada semua sektor bagi membolehkan wujudkan persekitaran selamat buat kanal-kanak.

“Kos salah satu daripada padang ini adalah lebih kurang USD 50,000 tetapi saya rasa ada banyak lagi di sebaliknya kerana ini adalah sebahagian daripada projek baharu, projek FIFA Arena yang kami laksanakan di seluruh dunia.

“Kami mahu membina sekurang-kurangnya 1,000 padang. Kami baru sahaja bermula beberapa bulan yang lalu, jadi kami masih di peringkat awal.

“Kami telah membina di kira-kira 20 buah negara di dunia, kami ada 200 lagi untuk dibina dan kami mahu melakukan lebih banyak lagi,” katanya.

Setiap padang mini direka berukuran 20×40 meter dan dilengkapi rumput tiruan berkualiti tinggi, pagar keselamatan, dinding serta jaring keliling bagi memastikan keselamatan pemain muda.

Mengikut rekod, setiap padang mini akan dilengkapi sistem tempahan digital yang boleh menjana pendapatan kepada komuniti setempat.

Selain itu, Malaysia turut mencatat satu lagi pencapaian apabila melancarkan Pusat Latihan Kebangsaan baharu di Putrajaya, hasil gabungan pembiayaan daripada program FIFA Forward dan kerajaan Malaysia.

Fasa pertama projek bernilai RM69 juta itu menampilkan tiga padang bersaiz penuh termasuk padang tiruan, padang semula jadi dan padang rumput hibrid dilengkapi lampu limpah, pagar keselamatan serta sistem penuaian air hujan yang mesra alam. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |