Farm Fresh bina ladang tenusu berskala besar di Kemboja

10 hours ago 5

PETALING JAYA – Syarikat tenusu tempatan, Farm Fresh Berhad terus mengorak langkah di peringkat serantau apabila menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Alpha Group Co. Ltd. bagi membangunkan ladang tenusu berskala besar dan kemudahan pembuatan produk tenusu di Kemboja.

Majlis menandatangani perjanjian itu diadakan di Kuala Lumpur dan disaksikan oleh Timbalan Perdana Menteri Kemboja merangkap Naib Pengerusi Pertama Majlis Pembangunan Kemboja, Sun Chanthol.

MoU berkenaan dimeterai antara Pengerusi dan Pengasas Alpha Group, Neak Oknha Ly Kunthai serta Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Farm Fresh, Loi Tuan Ee. Sun Chanthol dalam ucapannya berkata, kerajaan Kemboja mengalu-alukan pelaburan strategik oleh Farm Fresh memandangkan negara itu masih banyak bergantung kepada import susu segar dan produk tenusu dari luar.

“Pelaburan ini amat signifikan kerana ia bukan sahaja mengurangkan kebergantungan import, tetapi turut membantu membangunkan industri tenusu tempatan. Kerajaan Kemboja akan menyokong dan memudah cara pelaburan ini sepenuhnya,” katanya.

Menurut Farm Fresh, kolaborasi itu bukan sekadar peluasan operasi, tetapi turut memperkukuh misi syarikat untuk memperkenalkan falsafah ‘grass-to-glass’ menghasilkan susu segar berkualiti tinggi melalui amalan pertanian yang mampan dan beretika.

“Dengan menggabungkan kepakaran Farm Fresh dalam pengeluaran tenusu moden bersama potensi pertanian yang dimiliki Kemboja.

“Kerjasama ini akan memperkukuh rantaian bekalan tenusu tempatan, mengurangkan import, serta mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dan pembangunan kemahiran bagi penternak tempatan,” ujarnya.

Tambahnya, usaha itu juga selaras dengan matlamat jangka panjang Farm Fresh untuk membawa susu yang lebih segar, berkualiti dan berkhasiat kepada lebih ramai pengguna di seluruh Asia Tenggara. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |