F1: Piastri enggan lakukan kesilapan

5 hours ago 4

MEXICO CITY – Pendahulu Formula Satu (F1), Oscar Piastri menegaskan dia dan rakan sepasukannya dari McLaren, Lando Norris akan terus memberi tumpuan terhadap perlumbaan di Grand Prix (GP) Mexico esok.

Ia berikutan dua insiden pertembungan antara mereka pada GP Singapura dan GP Amerika Syarikat yang menyaksikan Norris kini ketinggalan 14 mata di belakang Piastri.

Disebabkan itu, Piastri enggan melakukan sebarang kesilapan yang mampu memusnahkan harapannya untuk bergelar juara dunia musim ini.

“Kami telah meneliti semula kejadian itu selepas setiap hujung minggu perlumbaan dan saya rasa ada sedikit tanggungjawab daripada pihak saya dalam perlumbaan sprint tersebut,” kata Piastri.

Kedua-dua pemandu gagal menamatkan perlumbaan sprint di Litar Americas, Austin yang dimenangi juara dunia bertahan Red Bull, Max Verstappen minggu lalu

Hasil keputusan tersebut, Verstappen merapatkan jurang kepada 40 mata selepas ketinggalan 104 mata pada akhir Ogos dengan lima pusingan dan dua perlumbaan sprint masih berbaki musim ini.

Piastri mengakui kebangkitan Verstappen dalam perebutan gelaran gak mengejutkan, namun tetap yakin mampu mempertahankan kedudukannya selaku pendahulu.

Pemandu Australia itu berkata, prestasi luar biasa Verstappen sejak GP Itali di Litar Monza awal bulan lalu menjadi faktor utama perebutan tiga penjuru membabitkan dirinya, Norris dan bintang Red Bull tersebut.

“Rentak dia tunjukkan sejak Monza agak mengejutkan. Ada ketikanya dia menunjukkan prestasi sebegitu di awal musim, tetapi juga terdapat penurunan besar. Dia kembali memberi saingan lebih pantas daripada yang saya jangka.

“Jurang memang semakin kecil sejak beberapa perlumbaan lalu, tetapi tumpuan tetap sama untuk memandu sepantas mungkin. Saya lebih rela berada di hadapan daripada kedudukan lain. Tiada guna risau tentang perkara itu,” tambahnya. – AGENSI

Read Entire Article
Pertanian | | | |