F1: Perez dedah ‘azab’ di Red Bull

1 day ago 6

LONDON – Bekas pelumba Red Bull Racing, Sergio Perez akhirnya membuka mulut mengenai realiti pahit bergelar pelumba bukan pilihan dalam pasukan itu.

Pelumba kelahiran Mexico berusia 35 tahun itu mengakui, persekitaran di dalam kem Milton Keynes sentiasa berada dalam keadaan tegang tanpa mengira keputusan yang dicatatkan di litar, sama ada menang atau kalah.

Perez menyifatkan tempoh kerjasamanya bersama gergasi Formula Satu (F1) itu sebagai fasa di mana semuanya serba tidak kena dan mengakui bahawa prestasinya sentiasa dianggap sebagai satu masalah besar biarpun lebih pantas berbanding Max Verstappen.

“Di Red Bull, semuanya adalah masalah. Jika saya sangat pantas, ia menjadi satu masalah kerana ia mewujudkan persekitaran yang sangat tegang dalam pasukan.

“Jika saya lebih pantas daripada Max (Verstappen) ia masalah. Jika saya lebih perlahan daripada Max, pun masalah. Jadi, semuanya adalah masalah,” katanya.

Perez menyertai Red Bull pada 2021 dan berjaya membantu Verstappen meraih gelaran dunia selain dirinya muncul naib juara dunia pada 2023, namun prestasi tidak menentu pada musim 2024 menyaksikan dia kehilangan kerusi tersebut.

Mengulas lanjut, Perez menegaskan bahawa ramai pemerhati sering terlupa betapa besarnya tekanan yang perlu ditanggung apabila bergandingan dengan pelumba berstatus bintang seperti Verstappen.

“Menjadi rakan sepasukan Max di Red Bull adalah pekerjaan terbaik dan pada masa sama pekerjaan terburuk dalam F1. Ramai orang lupa betapa sukarnya berada di kerusi itu sebaik sahaja melihat keputusan perlumbaan.

“Kami mempunyai pasukan terbaik yang mampu mendominasi sukan ini untuk 10 tahun akan datang, tetapi malangnya semuanya tertekan,” luahnya.

Perez kini bersedia membuka buku baharu dalam kariernya apabila bakal membuat kemunculan semula dalam kancah F1 musim 2026 bersama pasukan Cadillac. – AGENSI

Read Entire Article
Pertanian | | | |