MONTREAL – Pelumba sensasi muda Mercedes, Kimi Antonelli terus mencuri tumpuan Formula Satu (F1) apabila mencipta sejarah baharu selepas meraih kemenangan keempat berturut-turut pada Grand Prix (GP) Kanada, sekali gus mengukuhkan kedudukannya di puncak kejuaraan dunia musim ini.
Pelumba Itali itu menjadi pemandu pertama dalam sejarah F1 memenangi empat perlumbaan pertama dalam kariernya secara berturut-turut selepas menewaskan rakan sepasukan sendiri, George Russell dalam pertarungan sengit di Litar Gilles Villeneuve.
Aksi dramatik antara dua pelumba Mercedes itu berlangsung selama 31 pusingan apabila kedua-duanya saling memintas sebelum perlumbaan Russell berakhir secara mengejut akibat masalah unit kuasa.
Russell yang jelas kecewa mengakui sukar menerima hakikat kegagalan teknikal tersebut selepas percaya dia sudah memberikan aksi terbaik sepanjang hujung minggu perlumbaan di Montreal.
“Semuanya tiba-tiba terpadam. Saya masuk ke selekoh dan enjin terus mati, tiada elektronik dan sistem brek juga tidak berfungsi dengan baik.
“Sejujurnya saya hilang kata-kata sekarang. Saya rasa tiada apa lagi yang boleh saya lakukan minggu ini. Sudah tentu saya sangat kecewa,” katanya.
Dalam pada itu, Antonelli sekali lagi membuktikan kematangannya apabila kekal tenang meskipun beberapa kali hampir bertembung dengan Russell ketika perebutan posisi pendahulu perlumbaan.
Kemenangan tersebut menyaksikan Antonelli kini mendahului carta kejuaraan pemandu dengan kelebihan 43 mata, sekali gus mengukuhkan reputasinya sebagai calon utama juara dunia musim ini.
Sementara itu, Lewis Hamilton turut mencuri perhatian apabila meraih podium pertamanya bersama Ferrari selepas memintas Max Verstappen pada penghujung perlumbaan untuk menamatkan saingan di tempat kedua.
“Dapat kembali bersaing di kelompok depan serta bertarung dengan Max memberikan saya keyakinan besar. Saya sangat gembira,” ujar Hamilton. – AGENSI

3 hours ago
3















































