Ops Gunung Batu Putih: Jaslinda mungkin tersasar, pencarian diteruskan

2 hours ago 4

TAPAH – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) pendaki wanita yang hilang ketika menyertai ekspedisi pendakian Trans Spencer Chapman di Gunung Batu Putih disambung semula pagi ini.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, operasi pencarian kali ini memfokuskan kawasan sekitar laluan menghala ke Gunung Rayu dan Pos Musoh yang dipercayai berkemungkinan menjadi laluan mangsa tersasar.

Katanya, operasi yang disambung pada pukul 8 pagi itu melibatkan penugasan tambahan 12 anggota penyelamat yang akan digerakkan menggunakan pesawat AW139.

“Tambahan anggota ini bagi membantu lapan anggota penyelamat sedia ada yang bermalam di puncak gunung berkenaan.

“Operasi hari ini turut dibantu pesawat AW139 dari Pengkalan Udara JBPM Wilayah Utara yang dikendalikan Kapten Ahmad Fissol Ismail,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, Pos Kawalan Bomba (PKB) masih beroperasi di Kuala Woh manakala Pos Kawalan Hadapan membabitkan penggunaan pesawat ditempatkan di Kem Batalion 3 Pasukan Gerakan Am (PGA) Bidor.

“Aspek peralatan dan kaedah komunikasi turut dipertingkatkan dengan kehadiran pihak SAPURA yang bertanggungjawab mengendalikan Government Integrated Radio Network (GIRN) di PKB,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, seorang pendaki wanita, Jaslinda Saludin, 49, dilaporkan hilang ketika menyertai ekspedisi pendakian Trans Spencer Chapman di Gunung Batu Putih bersama 13 rakan pendaki lain serta dua malim gunung.

Difahamkan, mangsa yang cedera di kaki sebelum itu berhenti rehat bersama seorang lagi pendaki lelaki dan seorang malim gunung di Kem Batu Core selepas lelaki terbabit mengalami masalah pernafasan.

Bagaimanapun, Jaslinda gagal dikesan selepas wanita itu dipercayai meneruskan perjalanan ke puncak gunung. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |