PETALING JAYA – Aliran trafik di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KL-Karak) dilaporkan bergerak perlahan tengah hari ini susulan pertambahan kenderaan yang mula kembali ke ibu kota selepas cuti sambutan Tahun Baharu Cina.
Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) menerusi perkongsian di Facebook pada pukul 11.58 pagi, kesesakan berlaku di laluan arah barat menuju ke Kuala Lumpur.
“Trafik perlahan sejauh 6.6 kilometer dari Kilometer (KM) 68.4 hingga Tol Plaza Bentong (Karak-Bentong) dan 7.5km dari Tol Plaza Bentong hingga KM54.3 (Bentong-Lentang),” katanya.
Pengguna lebuh raya turut dinasihatkan untuk merancang perjalanan dan mendapatkan maklumat terkini mengenai keadaan trafik melalui saluran rasmi LLM dan aplikasi navigasi bagi mengelakkan kesesakan. – KOSMO! ONLINE