EPL: United yakin ulangi kejayaan

4 hours ago 2

MANCHESTER – Buat pertama kali dalam tempoh lima tahun, Manchester United bakal turun dalam aksi derbi menentang seteru setempat, Manchester City di Etihad malam ini dengan kedudukan lebih tinggi berbanding lawan mereka itu.

Bagaimanapun, pengendali United, Ruben Amorim percaya bahawa tidak ada perkara yang berbeza dan menganggap City masih lagi pasukan yang bagus dan dibimbing oleh pengurus yang terbaik.

“Mereka masih sebuah pasukan yang sukar untuk dijangka mengenai cara mereka bermain, mereka boleh berubah beberapa kali dalam perlawanan. Kami akan bersedia dan memiliki keyakinan untuk perlawanan kali ini.

“Kami tahu apa yang perlu dilakukan dan membuat persiapan dalam latihan. Kedudukan dalam carta ketika ini tidak memberikan apa-apa makna, saya lebih risau untuk kami kekalkan prinsip dalam perlawanan, cara kami bersaing untuk mendapatkan bola,” katanya.

Tambahnya, ketika ini berdasarkan data, United adalah pasukan yang lebih baik dan kejayaan menewaskan City musim lalu memberikan momentum dan keyakinan buat pemain untuk mengulanginya.

Mengulas lanjut, Amorim turut mengesahkan bahawa pasukan itu kehilangan tiga pemain tonggak pada perlawanan tersebut apabila Matheus Cunha, Mason Mount dan Diogo Dalot terpaksa diketepikan.

“Kesemua mereka tidak dapat beraksi. Saya tidak pasti berapa lama mereka terpaksa disisihkan. Kami memerlukan pemain yang kompetitif, tetapi kami juga memiliki pemain yang bersedia untuk beraksi.

“Apabila saya bercakap dengan Cunha, dia mengakui sedia untuk beraksi, namun kami akan uruskan perkara ini dengan teliti. Kesemua mereka sedang berusaha keras untuk kembali ke padang,” ujarnya.

Mengulas mengenai posisi penjaga gol, Amorim turut mengesahkan bahawa beliau akan menggunakan khidmat Altay Bayindir biarpun berjaya mendapatkan khidmat Senne Lammens.

“Altay akan terus beraksi. Ini liga yang berbeza, negara yang berbeza, sesi latihan juga berlainan. Jadi, kami akan cuba kekalkan, Altay dan Senne akan terus bersaing untuk posisi itu, tetapi pada saya jelas Altay menjadi pilihan pertama,” jelasnya. – AGENSI

Read Entire Article
Pertanian | | | |