LIVERPOOL – Pengendali Liverpool, Arne Slot seakan tidak mampu untuk mengesahkan mengenai masa depan bintang sensasi pasukan itu, Mohamed Salah selepas dia hanya memanaskan bangku simpanan ketika menewaskan West Ham United 2-0, Ahad lalu.
Slot menyenaraikan trio serangan yang dibarisi Florian Wirtz, Cody Gakpo dan Alexander Isak pada perlawanan itu yang menyaksikan mereka beraksi dengan lebih baik dan tersusun untuk mencatat kemenangan dan menamatkan rentetan tiga kekalahan sebelum ini.
Sebelum perlawanan berlangsung, pengurus berkenaan menjelaskan alasan Salah digugurkan dari kesebelasan utama apabila mengakui ia sekadar proses penggiliran pemain kerana bintang berkenaan sudah beraksi dalam banyak perlawanan.
“Kami bermain banyak perlawanan, dalam masa 10 hari empat perlawanan perlu diharungi. Salah sangat penting buat pasukan, kita akan tengok nanti pada perlawanan seterusnya (menentang Sunderland),” katanya.
Kenyataan itu memberi bayangan bahawa tidak ada jaminan bahawa pemain antarabangsa Mesir itu akan kembali berada dalam kesebelasan utama ekoran Liverpool dilihat mempamerkan aksi terbaik tanpanya di Stadium London tempoh hari.
Sebelum ini, Salah menjadi salah satu topik hangat dibincangkan apabila kualitinya dilihat menurun musim ini selepas kelab itu membuat keputusan membawa masuk beberapa muka baharu selain ia juga berpunca ekoran ketiadaan Trent Alexander Arnold.
Slot melakukan rombakan drastik ketika aksi menentang West Ham apabila menggunakan Gakpo di posisi yang ditinggalkan Salah selain kembali meletakkan Dominik Szoboszlai kembali ke posisi pemain tengah menyerang berbanding beraksi sebagai bek kanan sebelum ini.
Keputusan itu menyaksikan Liverpool beraksi lebih seimbang apabila berjaya menguasai permainan dan melakukan sembilan percubaan termasuk lima daripadanya adalah percubaan tepat. – AGENSI

4 hours ago
2






![[VIDEO] ‘Pengajaran paling bernilai dia dapat, gunakanlah seat belt’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/12/WhatsApp-Image-2025-12-03-at-10.49.31-AM.jpeg)










































