LIVERPOOL – Pengurus Liverpool, Arne Slot menerima berita gembira menjelang pertemuan menentang Leeds United di Anfield awal pagi Jumaat nanti apabila mampu membariskan skuad yang lebih mantap.
The Reds terlepas peluang menggunakan khidmat Dominik Szoboszlai ketika mencatat kemenangan ke atas Wolves sebelum ini yang berdepan penggantungan, namun pemain itu dilapor bakal disenaraikan berdepan Leeds.
Ketika aksi sebelum ini juga, Slot hanya menyenaraikan dua pemain, Conor Bradley dan Cody Gakpo sebagai pemain yang dimasukkan dari bangku simpanan ketika kedua-dua mereka baru sahaja pulih daripada masalah kecederaan.
Bagaimanapun, mereka dijangka berada dalam senarai kesebelasan utama skuad untuk perlawanan menentang Leeds sekali gus mampu menambah kekuatan pasukan itu bersama Szoboszlai.
Tahap kecergasan pemain yang ada sangat dituntut oleh Slot ketika beliau terpaksa melupakan khidmat lima pemain, Alexander Isak dan Giovanni Leoni yang cedera jangka panjang, Wataru Endo mengalami kecederaan buku lali dan Mohamed Salah sedang beraksi bersama Mesir.
Kehadiran Szoboszlai, Gakpo dan Bradley dalam skuad utama sangat diharapkan oleh Slot ketika Liverpool berdepan kesukaran untuk menamatkan perlawanan menentang Wolves dalam keadaan selesa biarpun mendahulu dengan dua gol pada babak pertama, namun gawang mereka bolos pada babak kedua.
Sementara itu, bekas pemain Liverpool, Ray Houghton menggesa Slot mengubah sedikit corak permainan pasukan itu dengan menghantar lebih ramai pemain untuk berada dalam kotak penalti ketika mereka melakukan serangan.
“Kami seperti tidak cukup pemain dalam kotak penalti ketika menyerang terutama untuk menerima bola menerusi hantaran lintang. Aksi di tempat sendiri nanti memerlukan Alexis Mac Allister, Curtis Jones dan Ryan Gravenberch untuk berada dalam kotak itu,” jelasnya. – AGENSI

17 hours ago
6

















































