Empat lagi jeti haram laluan penyeludup dirobohkan

13 hours ago 4

PASIR MAS – Empat lagi pangkalan haram di kawasan Sungai Golok di sempadan Malaysia-Thailand di daerah ini yang dikesan menjadi lokasi penyeludupan dirobohkan, hari ini.

Perobohan itu menjadikan jumlah keseluruhan jeti yang ditutup sejak 28 Oktober lalu adalah sebanyak lapan pangkalan haram termasuk masing-masing dua kawasan di Rantau Panjang dan Tanah Merah.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mazlan Hassan, selain pihak polis, operasi merobohkan pangkalan haram itu dijalankan oleh Majlis Keselamatan Negara, Pejabat Tanah dan Galian dan Jabatan Kerja Raya.

Menurutnya, empat jeti yang dirobohkan itu dikenali sebagai pangkalan haram Mat Roji 1, Mat Roji 2, Surau Lama dan Perdah.

“Perobohan pangkalan haram bermula 9.30 pagi sehingga 10.40 pagi tadi mengikut senarai dan peraturan yang dikeluarkan oleh Pejabat Tanah Jajahan Pasir Mas.

“Proses merobohkan pangkalan haram berjalan lancar tanpa sebarang masalah atau gangguan daripada pihak lain. Operasi itu dijalankan bagi membanteras semua kegiatan jenayah rentas sempadan Malaysia-Thailand di Kelantan,” katanya ketika dihubungi pemberita, di sini hari ini.

Media sebelum ini melaporkan, sebanyak empat pangkalan haram dirobohkan masing-masing dua di Rantau Panjang dan dua di Tanah Merah setakat 8 November lalu.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, empat jeti yang sudah dirobohkan sepanjang tempoh itu ialah pangkalan haram MCA, Gergaji, Dua Riya dan Nusi.

Kosmo! sebelum ini melaporkan, kerja-kerja perobohan 223 pangkalan haram di sepanjang Sungai Golok di sempadan Malaysia-Thailand yang dikesan menjadi lokasi penyeludupan dilakukan secara berperingkat bermula 28 Oktober lalu.

Mohd. Yusoff berkata, pangkalan haram Gergaji dan MCA dekat Rantau Panjang menjadi perintis kepada kerja-kerja perobohan itu yang dijangka mengambil masa dua bulan.

Katanya, semakan mendapati sebanyak 216 daripada 223 jeti haram bermula dari Pengkalan Kubor hingga Jeli itu dibina atas tanah kerajaan.

“Baki tujuh struktur binaan dibuat atas tanah milik persendirian. Perkara ini sudah hampir setahun saya maklumkan dan masyarakat faham tujuan sebenar tindakan perobohan dijalankan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |