Elak provokasi semasa bantah kehadiran Trump di KL

11 hours ago 6

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang memantau beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang dikatakan merancang mengadakan perhimpunan awam membantah kehadiran Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, di kawasan Kuala Lumpur City Centre (KLCC) pada Ahad ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mohd. Khalid Ismail berkata, pihaknya menerima maklumat risikan mengenai rancangan tersebut.

Beliau berkata, pihaknya juga sedang menjalankan usaha libat urus secara berterusan dengan pihak-pihak terlibat bagi memastikan perhimpunan berkenaan tidak diteruskan kerana ia boleh menjejaskan imej negara.

“Mesyuarat dengan NGO telah diadakan dan akan diteruskan dengan melibatkan pelbagai pihak serta pertubuhan. Perbincangan masih berjalan bagi mencari titik persetujuan supaya perkara yang tidak diingini dan provokasi dapat dielakkan,” katanya pada sidang akhbar di sempena persiapan dan raptai Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Kuala Lumpur Convention City, di sini hari ini.

Menurutnya, pihak polis turut menawarkan lokasi alternatif seperti Padang Merbok yang disifatkan lebih sesuai untuk tujuan perhimpunan awam serta mempunyai kemudahan liputan media yang mencukupi.

Mohd. Khalid turut menasihatkan masyarakat supaya mematuhi undang-undang, tidak menyebarkan maklumat tidak sahih serta mengelakkan sebarang bentuk provokasi yang boleh menjejaskan ketenteraman awam.

“PDRM akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba mengganggu keamanan. Keprihatinan rakyat amat penting bagi memastikan keselamatan negara terus terpelihara,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan sekumpulan gabungan pertubuhan masyarakat sivil dan parti politik di Malaysia merancang untuk mengadakan satu perhimpunan awam bertajuk ‘Trump You’re Not Welcome in Malaysia’ pada 26 Oktober ini di Ampang Park. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |