Ekspres Selatan Gemas–JB Sentral tamat operasi mulai 1 Januari 2026

3 hours ago 3

PETALING JAYA – Selepas hampir sembilan tahun berkhidmat kepada penumpang di sektor selatan, operasi perkhidmatan tren Ekspres Selatan bagi laluan Gemas–JB Sentral–Gemas ditamatkan berkuat kuasa 1 Januari 2026.

Ketua Pegawai Teknikal merangkap Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Ir. Ahmad Nizam Mohamed Amin berkata, pihaknya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua penumpang setia Ekspres Selatan atas sokongan berterusan sepanjang tempoh perkhidmatan itu beroperasi.

“Setiap perjalanan, kenangan dan nostalgia bersama Ekspres Selatan akan sentiasa terpahat dalam ingatan seluruh warga kerja KTMB. Kami mengalu-alukan orang ramai untuk terus memilih dan menyokong perkhidmatan KTMB sebagai pilihan pengangkutan awam yang selamat, selesa dan diyakini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

KTMB berkata, enam perkhidmatan Ekspres Selatan yang kini beroperasi iaitu tren bernombor 41, 42, 43, 44, 45 dan 46 akan dihentikan sepenuhnya bermula tarikh tersebut.

Katanya, penamatan berkenaan adalah sebahagian daripada penyelarasan perancangan serta pengoptimuman operasi perkhidmatan penumpang di jajaran selatan, selari dengan kemajuan dan kesiapsiagaan infrastruktur Projek Landasan Berkembar Elektrik Gemas–Johor Bahru.

Tambahnya, perkhidmatan Ekspres Selatan sebelum ini dikenali sebagai Shuttle Selatan, yang pernah menghubungkan perjalanan dari Gemas ke Woodlands dengan nombor tren 61 dan 62.

Sementara itu, KTMB berkata keperluan perjalanan penumpang di sektor selatan akan terus diperkukuh menerusi pengoperasian penuh perkhidmatan tren elektrik (ETS) hingga ke JB Sentral dengan lapan perkhidmatan sehari bermula Khamis ini.

Jelasnya, dengan pelaksanaan penuh ETS itu, penumpang bakal menikmati perjalanan yang lebih moden, mesra pengguna dan mesra alam, selain menawarkan masa perjalanan lebih efisien serta tahap keselamatan dan keselesaan yang lebih baik.

Bagaimanapun, kata KTMB, perkhidmatan Ekspres Rakyat Timuran (ERT) bagi laluan JB Sentral–Tumpat–JB Sentral akan terus beroperasi seperti biasa dan kekal sebagai pilihan utama penumpang dari sektor selatan ke Pantai Timur.

“Perkhidmatan Shuttle Timuran bagi laluan Gemas–Tumpat turut disediakan sebagai alternatif perjalanan secara henti-henti,” katanya.

Sehubungan itu, KTMB menasihatkan penumpang supaya menyemak jadual perjalanan terkini melalui saluran rasmi syarikat serta merancang perjalanan lebih awal menggunakan platform jualan tiket yang sah.

Sebarang pertanyaan lanjut boleh dibuat dengan menghubungi Pusat Panggilan KTMB di talian 03-9779 1200 atau melalui saluran media sosial rasmi KTMB. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |