Dua wanita rugi lebih RM1.1 juta ditipu sindiket palsu

23 hours ago 7

GEORGE TOWN – Dua wanita tempatan terpaksa gigit jari apabila diperdaya kira-kira RM1.15 oleh sindiket penipuan pelaburan palsu dan penipuan melalui panggilan telefon dalam dua kejadian berasingan, bulan lalu.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail berkata, kes pertama melibatkan seorang wanita berusia 71 tahun yang mengalami kerugian sebanyak RM690,500 selepas terpedaya dengan skim pelaburan dalam talian.

Menurutnya, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut menerima laporan berhubung kes itu pada 29 Disember lalu.

”Mangsa yang bekerja sebagai perunding di sebuah syarikat swasta tertarik dengan iklan pelaburan saham yang dilihat di aplikasi TikTok pada pertengahan November.

”Mangsa kemudiannya berhubung dengan seorang suspek wanita melalui aplikasi WhatsApp sebelum dimasukkan ke dalam satu kumpulan WhatsApp dikenali sebagai ‘QNTCX Invest’,” katanya di sini hari ini.

Menurutnya, suspek didakwa menjanjikan pulangan sehingga 100 peratus dalam tempoh singkat.

”Mangsa kemudian diarahkan memuat turun satu aplikasi dikenali sebagai ONTCX bagi tujuan pendaftaran dan pelaburan. Antara 10 November hingga 23 Disember, mangsa telah membuat 20 transaksi pemindahan wang ke empat akaun bank berbeza milik syarikat berlainan.

”Mangsa menyedari dirinya ditipu apabila gagal menerima sebarang pulangan dan sebaliknya diminta membuat bayaran tambahan bagi mengeluarkan keuntungan yang kononnya diperoleh,” katanya.

Dalam kes berasingan, Azizee berkata, seorang pesara sektor swasta berusia 58 tahun mengalami kerugian sebanyak RM462,000 selepas diperdaya sindiket penipuan melalui panggilan telefon.

Katanya, polis menerima laporan berhubung kes tersebut pada 22 Disember.

Beliau berkata, mangsa menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki yang mendakwa sebagai wakil Touch ’n Go dan memaklumkan terdapat pengeluaran wang mencurigakan daripada akaunnya. -KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |