Dua mayat rentung: Kematian ibu, anak angkat diklasifikasi mati mengejut

1 hour ago 1

SEBERANG PERAI – Polis Pulau Pinang mengesahkan kematian ibu dan anak angkat perempuan berusia lima tahun yang dipercayai maut terperangkap dalam kebakaran di rumah sewa mereka di Taman Rathna, Butterworth di sini, semalam sebagai mati mengejut (SDR).

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail ketika dihubungi Kosmo! di sini tadi berkata, pihaknya masih menunggu keputusan laporan forensik dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berhubung punca sebenar kebakaran berlaku.

“Kematian dua mangsa tersebut diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR). Pasukan bomba telah mengambil beberapa sampel di tempat kejadian untuk tujuan analisa dan punca kebakaran masih lagi dalam siasatan pihak berkenaan.

“Pasukan Forensik dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang juga turut hadir menjalankan siasatan di tempat kejadian.

“Sekiranya terdapat elemen jenayah iaitu khianat dalam kejadian itu, kita akan bukan kertas siasatan,” katanya di sini, tadi.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara , Asisten Komisioner Anuar Abd Rahman berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam berhubung kejadian berlaku pada pukul 9.45 pagi semalam.

“Operasi pemadaman melibatkan lima jentera bomba dari Balai Bomba Penanti Bandar Perda, Kepala Batas serta bantuan dari pasukan bomba sukarelawan Sungai Puyu dan Bagam Ajam.

“Kebakaran turut memusnahkan dua buah motosikal dan semasa kerja-kerja pemadaman dijalankan, pihak bomba telah menemui seorang lelaki di bahagian belakang rumah dalam keadaan cedera pada kepala dan mangsa telah dikejarkan ke Hospital Seberang jaya untuk rawatan lanjut.

“Hasil pemeriksaan lanjut dan maklumat orang awam juga akhirnya menemui dua mayat yang telah tertimbus di bawah runtuhan zink menyebabkan pasukan penyelamat dari polis dan bomba mengambil masa yang lama untuk mengesan dan menemui mangsa.

“Kedua-dua mayat telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Kepala Batas untuk dibedah siasat,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Dalam pada itu katanya lagi, hasil maklumat orang awam dan rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) di kawasan berhampiran menunjukkan terdapat kepulan asap dan api merebak dengan cepat, membakar sebahagian sktruktur rumah.

Justeru tambahnya, pihak polis menyeru orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian tersebut supaya menghubungi Ketua Polis Balai Telok Ayer Tawar, SM Mohamad Zain Hasim di talian 04-576 2222 (sambungan 2275) atau mana-mana balai polis terdekat bagi membantu siasatan. -KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |