Dua maut rentung angkara dendam

1 week ago 13

ALOR SETAR – Kebakaran sebuah rumah di Tongkang Yard, di sini semalam yang meragut dua nyawa memasuki episod baharu apabila ia diklasifikasikan sebagai kes bunuh angkara dendam.

Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh berkata, susulan kejadian itu, pihaknya berjaya menahan lima suspek lelaki sejurus kejadian.

Katanya, tangkapan pertama adalah lelaki berusia 29 tahun yang merupakan anak saudara kepada warga emas, Ibrahim Mydin, 61, yang ditemukan rentung dalam kejadian itu.

“Suspek juga didapati merupakan penagih dadah tegar sebelun menahan empat lagi suspek iaitu tiga warga tempatan dan seorang warga Myanmar berusia antara 19 hingga 53 tahun. Tiga daripada mereka positif dadah,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah (IPK) di sini hari ini.

Katanya, tiga daripada lima suspek yang ditahan disyaki suspek utama kejadian berkenaan.

“Salah seorang suspek iaitu anak saudara mangsa tinggal tidak jauh dari rumah mangsa. Penahanan suspek pertama mereka adalah hasil daripada petunjuk apabila mangsa warga emas membuat laporan polis berhubung telefon bimbit dicuri sehari sebelum kejadian.

“Walau bagaimanapun, dia menarik balik laporan polis tersebut. Mangsa dikatakan menarik balik laporan selepas suspek menyerahkan semula telefon itu,” ujarnya sambil memberitahu suspek utama itu tidak bekerja dan mempunyai rekod jenayah serta dadah.

Jelasnya, kelima-lima suspek kini direman sehingga 27 Januari depan dengan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Selain itu, katanya, hasil siasatan di lokasi oleh pihak forensik bomba dan polis menemui botol berisi petrol dan kesan petrol di lokasi.

“Salah seorang suspek dipercayai mencurahkan petrol dan membakar rumah tersebut sehingga menyebabkan dua maut,” jelasnya.

Kosmo! semalam melaporkan dua lelaki yang ditemukan rentung dalam kebakaran sebuah rumah di Tongkang Yard, di sini semalam dipercayai warga emas berusia 61 tahun dan anak angkatnya berusia 23 tahun.

Mangsa dipercayai pemilik rumah, Ibrahim Mydin dan anak angkatnya, Muhammad Muslim Mohd. Zaini yang tinggal di rumah tersebut.

Identiti sebenar mangsa bagaimanapun belum dapat disahkan sehingga ujian asid deoksiribonukleik (DNA) dilakukan berikutan keadaan mayat yang rentung. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |