KAJANG – Kerap keluar malam dan tidak boleh berenggang dengan abang menjadi petanda dua beradik itu maut selepas dihanyutkan arus deras di Taman Prima Saujana di sini, Rabu lalu.
Bapa mangsa, Khairul Ikram Baharin,47, berkata, anak bongsunya, Qayyum Shaqeel, 12, dilihat lebih kerap meluangkan masa bersama abang dan rakan-rakan kerana mahu menghabiskan saat-saat terakhir sebelum memasuki sekolah berasrama penuh pada Januari depan.
Menurutnya, beliau pernah menegur Qayyum Shaqeel berhubung perubahan rutin itu, namun remaja terbabit memaklumkan dia sekadar ingin bersama abang tersayangnya, Allahyarham Khalish Shahdan, 14.
“Biasanya dia keluar pada waktu siang sahaja, tetapi kebelakangan ini kerap keluar waktu malam. Bila ditanya, dia kata mahu habiskan masa dengan kawan-kawan dan juga abangnya sebelum masuk asrama tahun hadapan,” katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Sungai Kantan di sini, hari ini.
Khairul Ikram berkata, Qayyum Shaqeel yang aktif bermain bola sepak menerima tawaran memasuki Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Ampuan Durah, Seremban bermula Januari depan.
Katanya, Allahyarham Khalish Shahdan sempat meluahkan perasaan berat hati untuk berpisah, namun tetap menyokong perancangan adiknya itu.
“Abangnya memang berat hati, tetapi dia beritahu saya, bila ada perlawanan adiknya nanti, bolehlah kami pergi tengok bersama-sama,” katanya.
Menurut Khairul Ikram, kedua-dua anak lelakinya itu sangat rapat, sering melakukan aktiviti bersama dan jarang berenggang.
“Dia gembira adiknya dapat masuk sekolah asrama, tetapi sebagai seorang abang, saya nampak dia seperti berat hati kerana mereka memang rapat. Abangnya cuma ada seorang adik lelaki,” katanya.
Beliau berkata, dirinya dimaklumkan mengenai kejadian itu oleh rakan anaknya yang datang ke rumah sebelum memberitahu dua beradik berkenaan dihanyutkan arus deras.
“Saya terus menghubungi talian kecemasan 999 dan berusaha mencari mereka sementara menunggu bantuan tiba. Dalam hati, saya hanya berharap dapat segera menemui dan menyelamatkan kedua-dua anak lelaki saya,” katanya.
Khairul Ikram yang juga guru di SMK Bandar Baru Sungai Long memaklumkan, ketika kejadian beliau berada di rumah manakala isterinya, Suzieana Ibrahim, 46, yang juga guru, sedang mengajar sesi petang di SMK Taman Connaught, Kuala Lumpur.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan dua beradik itu dilaporkan hilang selepas terjatuh dan dihanyutkan arus deras ketika cuba mengambil bola di dalam longkang di Lorong 1/3A, Taman Prima Saujana.
Mayat Qayyum Shaqeel ditemukan kira-kira dua kilometer dari lokasi kejadian pada pukul 7.47 malam, Khamis lalu dan disahkan meninggal dunia pada pukul 10 malam ketika menerima rawatan di hospital.
Mayat Khalish Shahdan pula ditemukan dalam takungan air berhampiran sebuah pasar raya di Prima Saujana pada pukul 8.45 malam semalam.
Jenazah kedua-duanya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Kantan di sini. – KOSMO! ONLINE

8 hours ago
5

















































