Drama 5 saat julang kejayaan Malaysia

3 hours ago 4

BANGKOK – Penjaga gol skuad futsal Bawah 19 Tahun (B-19) negara, Mohammad Ammar Harith Mohammad memastikan debut antarabangsa penuh gemilang apabila membantu Malaysia meraih tempat ketiga Kejuaraan B-19 Asia Tenggara.

Pada aksi penentuan tempat ketiga di Stadium Nonthaburi, sebentar tadi, skuad negara menang 4-3 ke atas Vietnam pada penentuan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 2-2 dalam permainan sebenar.

Kejayaan kali ini turut dibayangi aksi penuh dramatik pada 17 saat terakhir perlawanan, menyaksikan dua jaringan terhasil daripada kedua-dua pasukan.

Skuad negara memulakan perlawanan dengan agak positif apabila terus memberikan tekanan namun sering dikecewakan oleh sentuhan penyudah.

Sebaliknya, Vietnam yang terlebih dahulu membuka jaringan menerusi penyudah sempurna Nguyen Truong Hoang Long seawal minit ke-5.

Seterusnya, skuad negara terus menggandakan asakan tetapi sentuhan akhir terus menghadirkan kekecewaan sekali gus beri kelebihan buat Vietnam sehingga tamat babak pertama.

Walaupun beberapa kali mencetuskan situasi cemas, Vietnam dilihat lebih mengutamakan tugasan bertahan untuk mengekang Malaysia daripada memperoleh gol penyamaan.

Malah, penjaga gol Vietnam, Truong Van Khanh turut cemerlang menafikan sekurang-kurangnya dua peluang terbaik skuad negara.

Keputusan pengendali negara, Rakphol Sainetngam untuk menggunakan taktikal ‘power play’ membuahkan hasil apabila Iqbal Hazim Radzi kembali menyamakan kedudukan.

Tempoh 17 saat terakhir menjadi detik penuh dramatik, menyaksikan Vietnam memperoleh gol kedua menerusi Nguyen Thac Hieu namun Muhammad Aidil Zakwan Zaidi kembali memberikan ‘nyawa’ buat skuad negara apabila meledak jaringan penyamaan ketika permainan hanya berbaki lima saat.

Pada penentuan sepakan penalti, Mohammad Ammar Harith yang turut menyempurnakan tanggungjawab selaku penendang keempat cemerlang menyelamatkan sepakan kelima Vietnam daripada Nguyen Thac Hieu.

Aidil Fazrez Zul Hatta yang diamanahkan untuk mengambil sepakan kelima skuad negara tenang menyempurnakan sepakan sekali gus mengesahkan kemenangan Malaysia. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |