GEORGE TOWN – Seorang doktor lelaki yang bertugas di Hospital Pulau Pinang (HPP) mengaku tidak bersalah di dua Mahkamah Majistret berasingan di sini hari ini, atas empat pertuduhan mengaibkan dan mencabul dua pesakit wanita warga asing, Februari lalu.
Tertuduh, Goon Hoong Tatt, 43, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nur Fadrina Zulkhairi di Mahkamah Majistret 1 dan Majistret Muhammad Amzar Ismail di Mahkamah Majistret 2.
Bagi pertuduhan pertama yang dibacakan di Mahkamah Majistret 1, tertuduh yang kini bertugas sebagai Pegawai Perubatan di HPP didakwa dengan niat mengaibkan penghormatan seorang wanita warga asing di Bilik Pemeriksaan Klinikal Jabatan Forensik HPP, pada pukul 9.15 malam, 20 Februari lalu.
Pendakwaan dilaksanakan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara lima tahun dan denda atau kedua-duanya.
Bagi pertuduhan kedua pula, tertuduh didakwa telah menggunakan kekerasan jenayah dengan maksud mencabul kehormatan seorang wanita warga asing di lokasi sama, kira-kira pukul 9.25 malam.
Pendakwaan dilaksanakan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara hingga 10 tahun atau denda atau sebat.
Pertuduhan ketiga pula, tertuduh didakwa dengan niat mengaibkan kehormatan seorang wanita warga asing di lokasi dan tarikh sama pada pukul 9.30 malam. Pendakwaan itu dilakukan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya.
Prosiding kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Lau Shavin, manakala tertuduh diwakili peguam, N. Tishalini.
Dalam rayuan, Tishalini yang mewakili tertuduh memohon mahkamah mengurangkan jaminan atas alasan anak guamnya merupakan seorang penjawat awam dan telah berkhidmat sebagai pegawai perubatan di Hospital Pulau Pinang selama 15 tahun.
“Anak guam saya juga menanggung isterinya yang merupakan suri rumah bapanya berumur 80 tahun dan ibunya berusia 73 tahun. Selain itu, ibunya juga menghidap masalah pendarahan rahim dan dijaga sendiri oleh anak guam di rumah.
“Dari segi kewangan, gaji bulanan anak guam saya selepas ditolak pinjaman dan yuran pengajian Ijazah Sarjana dalam Forensik Patologi hanya berbaki sekitar RM5,000,” katanya.
Hakim, Nur Fadrina kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,500 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan dan tertuduh tidak dibenarkan menggangu mangsa.
Sementara itu, di Mahkamah Majistret 1, Hoong Tat berdepan satu lagi pertuduhan berasingan iaitu mengaibkan kehormatan seorang lagi wanita warga asing di lokasi sama, pada pukul 9.30 malam, 26 Februari lalu.
Muhammad Amzar kemudiannya menetapkan wang jaminan RM7,000 dengan seorang penjamin selain syarat tambahan iaitu tertuduh dilarang mendekati saksi serta mangsa sehingga kes selesai. Kesemua kes akan disebut semula pada 27 November depan. -KOSMO! ONLINE