MELAKA – “Setiap kali hujan, makcik cuma mampu tadah air dengan baldi dan berdoa agar bumbung rumah ini tak runtuh.”
Itu luahan Poniah Ahmad, 75, yang tidak mampu menahan sebak apabila rumah usangnya di Kampung Pinang, Tanjung Kling dekat sini akhirnya dibaik pulih secara percuma oleh kerajaan negeri selepas lebih lima dekad menjadi tempat berteduh keluarganya.
Rumah kayu berusia 55 tahun itu sebelum ini mengalami kerosakan teruk, dengan sebahagian besar bumbung reput dimakan anai-anai hingga air hujan menitis di ruang tamu setiap kali ribut melanda.
“Makcik bersyukur sangat, doa makcik akhirnya termakbul. Rumah ini dah lama usang, kayu banyak rosak.
“Makcik tinggal dengan empat anak dan dua cucu, dua daripada mereka orang kurang upaya (OKU) masing-masing masalah fizikal dan lembam, ibu mereka pula ibu tunggal yang kerja sebagai kakitangan pembersihan,” katanya ketika ditemui pada majlis penyerahan semula rumah itu, hari ini.
Rumah Poniah antara dua kediaman yang dibaik pulih di bawah Program Melaka Rumahku (PMR) anjuran Lembaga Perumahan Melaka (LPM) menerusi Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) DUN Klebang.
Majlis berkenaan disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klebang, Datuk Lim Ban Hong, yang menyerahkan bantuan baik pulih bernilai lebih RM20,000, melebihi peruntukan asal RM15,000 berikutan tahap kerosakan yang serius.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana Negeri Melaka, Datuk Rais Yasin berkata, hampir 80 peratus struktur bumbung rumah Poniah telah diganti kepada besi bagi memastikan keselamatan penghuni.
“Projek ini antara 39 rumah di seluruh negeri yang menerima bantuan di bawah peruntukan RM1 juta Kerajaan Negeri melalui LPM.
“Sebanyak RM1.3 juta turut diperuntukkan bagi pembinaan rumah baharu di bawah kategori PMR Bina Baru, menjadikan keseluruhan bantuan perumahan rakyat tahun ini hampir RM2 juta,” katanya.
Ujarnya, inisiatif itu mencerminkan komitmen kerajaan negeri dalam memastikan golongan berpendapatan rendah dan warga emas tidak dipinggirkan daripada menikmati kediaman yang lebih selamat dan selesa.- KOSMO! ONLINE